MADRID – Presiden La Liga Sepanyol, Javier Tebas sudah bersiap sedia untuk menerima kelangsungan bola sepak tanpa kelibat Lionel Messi selepas ini.
Kenyataan berani itu menyusul ekoran berita sensasi yang mengaitkan superstar Barcelona itu akan berhijrah ke Liga Perdana Inggeris untuk menyertai Manchester City.
Messi dikhabarkan telah mengemukakan permohonan berhijrah pada Ogos lalu setelah beraksi dengan the Catalans sejak berusia 13 tahun.
Namun pengurusan tertinggi kelab itu tidak melayan tuntutan Messi dan menolak permohonannya.
Perang mulut tercetus antara Messi dan bekas presiden kelab itu Josep Maria Bartomeu sebelum pemimpin itu berundur Oktober lalu.
Tebas pula mahu Messi kekal di Sepanyol tetapi pada masa yang sama opimis La Liga dapat meneruskan kegemilangannya tanpa pemain Argentina itu.
“Kami lebih gembira sekiranya Messi kekal di La Liga, tetapi pemergian Ronaldo dan Neymar sebelum ini tidak membawa sebarang kesan mendalam atau perbezaan dalam liga domestik.
“Jika Messi mengikut jejak langkah mereka, situasinya akan tetap sama,” katanya.
Tebas juga optimis Stadium Etihad adalah destinasi baharu Messi jika meninggalkan Nou Camp walaupun sumber kelab itu mendakwa tiada wakil dari Man City berunding mengenai perkara itu.
Tebas terus mengkritik Man City khususnya bab perbelanjaan besar dana dalam merekrut pemain membatasi Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) yang ditetapkan bola sepak sedunia.
“Isu ini sudah diketahui umum dan ramai yang mengkritik sikap kelab itu (Man City).
“Man City sama ada terjejas akibat Covid-19 atau sebaliknya, pembiayaan kewangan kelab itu berbeza dengan kelab lain dan mereka berupaya melawan pandemik luar biasa itu untuk melabur besar dalam pemain,” bidas Tebas.-MalaysiaGazette