Home Nasional Pekerja asing pakai gelang pink adalah kontak kasual

Pekerja asing pakai gelang pink adalah kontak kasual

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof bercakap pada sidang media pada Wawancara Belanjawan 2021 di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Pekerja asing yang memakai gelang pink dan berada di tapak pembinaan seperti yang tular di laman media sosial terdiri daripada kontak kasual dan bukannya kontak rapat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hasil siasatan mendapati mereka adalah golongan kurang risiko untuk dijangkiti Covid-19 berbanding kontak rapat.

Jelas beliau, pekerja asing itu tidak boleh keluar dari tapak pembinaan namun masih dibenarkan bekerja dalam kawasan itu.

“Mereka tidak boleh berjumpa komuniti sebab itu diletak pihak polis dan ada yang memantau bagi memastikan pekerja asing yang memakai (gelang pink) tidak boleh keluar dan bekerja di dalam sahaja,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu pekerja asing yang memakai gelang pink dan berada di tapak pembinaan seperti yang tular di laman media sosial dan sektor pembinaan kini menjadi antara kluster Covid-19 yang mencatatkan kes positif paling ramai.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pemain sektor pembinaan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta persatuan yang mewakili pemaju dan kontraktor dalam masa terdekat.

Jelas beliau, ia bagi mendapat pandangan untuk penambahbaikan prosedur standard operasi (SOP) dalam sektor pembinaan yang melibatkan pekerja asing di tapak pembinaan.

Menurutnya, KKR berharap dapat mengangkat satu lagi peringkat pematuhan SOP seperti yang diamalkan di Singapura.

“Amalan di Singapua, semua pekerja asing mesti buat ujian saringan setiap dua minggu sekali. Kalau hendak ikut langkah negara jiran itu yang merupakan tujuan KKR buat sesi libat urus.

“Boleh tidak kita patuhi dan sudah tentu akan meningkat kos dalam bisnes. Tapi kalau tidak dilaksana kontraktor atau pemaju akan mengalami kerugian juga.

“Kalau ada kes positif, tapak pembinaan akan ditutup dua minggu dan memberi kos juga.

“Jadi KKR sedang kerjasama erat dengan Kementerian Sumber Manusia bagaimana hendak menyerap sebahagian kos ujian saringan yang bukan semuanya ditanggung pemaju.

“Sebahagiannya ada bantuan dari Perkeso dan kita akan bermesyuarat dan kalau jadi, ia akan meningkat SOP dan tapak pembinaan menjadi lebih selamat bagi mereka yang ada hubungan,” katanya. – MalaysiaGazette