Home Seni Hidup Eizlan, maafkan saya – Hans Isaac

Eizlan, maafkan saya – Hans Isaac

Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Eizlan Yusof berhubung dakwaan menyebarkan kenyataan menerusi kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 16 November lalu.

Beliau mengakui menghantar satu mesej dalam kumpulan WhatsApp itu dan merakamkan ucapan tahniah kepada tiga syarikat yang dipilih untuk menerima Dana Kandungan Digital 2020 daripada FINAS.

“Ini termasuklah syarikat Excellent Pictures Sdn Bhd. Bagaimanapun, saya mengakui membuat kesilapan dengan mengaitkan Eizlan dan Excellent Pictures.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Eizlan yang juga Ahli Lembaga Pengarah FINAS mengambil tindakan undang-undang ke atas Hans berhubung dakwaan tidak berasas pada 16 November lalu.

Menerusi peguam cara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co, Eizlan kesal atas kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan menjatuhkan nama serta reputasinya.

Eizlan menghantar surat saman kepada Hans berikutan dakwaan yang mengaitkannya menyalah guna kuasa sebagai Ahli Lembaga Pengarah agensi itu.

Hans menambah, beliau bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan berserta permohonan maaf kepada Eizlan, semalam.

“Sebaik sahaja saya menyedari kesilapan ini, saya nak mohon maaf. Tetapi, belum sempat berbuat demikian, saya dimaklumkan Eizlan sudah menghantar surat peguam kepada saya,” katanya.

Hans berkata, dia sudah menghubungi Eizlan melalui peguam caranya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung kesilapan itu.

“Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang tidak disengajakan.

“Saya berharap kita dapat buang yang keruh dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Eizlan Yusof saman Hans Isaac