Home Pendapat Cegah berulangnya watak Joker dalam kehidupan

Cegah berulangnya watak Joker dalam kehidupan

Gambar hiasan

SUNGGUH menggerunkan apalagi pelbagai persepsi negatif akan muncul di fikiran apabila mendengar cerita tentang bunuh diri. Menjadi kebiasaan, keluarga dicemuh atau dipandang serong dengan berlakunya tragedi demikian.

Namun, selayaknya kita sebagai manusia biasa tidak seharusnya menghukum atau menilai seseorang itu akibat terjadinya situasi yang tidak diingini seperti ini.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan bunuh diri sebagai mengambil nyawa sendiri dengan sengaja yang dilakukan melalui pelbagai cara seperti menembak diri sendiri, terjun daripada tempat yang tinggi, menggantungkan diri sendiri, meminum racun dan pelbagai bentuk lainnya.

Sesuatu yang sangat mengejutkan semua rakyat Malaysia sebagaimana laporan media yang tersiar pada semalam (18 November 2020), berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri yang diterima sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19.

“Sebanyak 25 peratus daripada 266 kes bunuh diri itu disebabkan bebanan hutang yang tinggi,” kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

Seterusnya, 24 peratus akibat daripada masalah keluarga, 23 peratus pula disebabkan kes rumah tangga, 15 peratus faktor cinta dan selebihnya adalah disebabkan bebanan kerja, halusinasi, mental, media massa dan dadah. Sebanyak 78 peratus tingkah laku bunuh diri dilakukan oleh lelaki manakala sebanyak 22 peratus adalah wanita.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 189 mangsa dilaporkan membunuh diri dengan cara menggantungkan diri berbanding kaedah lain seperti terjun bangunan sebanyak (37 kes), minum racun (14 kes), mencederakan diri (13 kes) manakala 13 kes lainnya mangsa mengambil pil tidur, hidu asap arang serta ekzos kereta.

Situasi yang berlaku ini jelas amat membimbangkan sesiapa pun. Di samping sentiasa mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, seseorang itu perlukan tempat untuk meluahkan apa yang mereka rasakan.

Memendam adalah faktor terpenting yang meningkatkan risiko bunuh diri. Wanita merasa tidak selesa untuk melampiaskan dan membicarakan masalah mereka dengan orang lain, manakala lelaki cenderung menyembunyikannya.

Ini mungkin disebabkan oleh kenyataan bahawa banyak masyarakat mendesak lelaki untuk menunjukkan kekuatan dan ketahanan, dan tidak mengungkapkan penderitaan mereka.

Mantan Pengarah Eksekutif Badan Amal Cegah Bunuh Diri (Lifeline) di Australia, Coleman O’Driscoll berkata:

“Ia sering bermula pada zaman kanak-kanak. Ibu bapa biasa mengatakan kepada anak-anaknya, “Anak lelaki tidak boleh menangis”, dan dengan ini anak-anak mereka membesar dari usia muda untuk menyembunyikan perasaan mereka kerana mengungkapkannya adalah bukti kelemahan mereka”.

Pengarah Eksekutif Pusat Perlindungan Bunuh Diri di Kanada, Mara Gronau  memperingatkan tentang pentingnya cara ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan bagaimana ibu bapa mendorong anak-anak mereka untuk meluahkan perasaan dan pemikiran mereka.

“Ibu lebih banyak berbicara dengan anak perempuan mereka daripada yang mereka lakukan dengan anak lelaki secara berperingkat, terutama mengenai perasaan dan emosi. Kami hampir mengharapkan wanita peka.”

“Manakala, lelaki cenderung untuk bersembunyi dan tidak mengakui perasaan terdedah, dan mereka mungkin lebih konservatif daripada wanita ketika berjumpa doktor.”

Selain itu, kemurungan, kewujudan sikap impulsif, masalah sosial dan penyakit mental lain seperti pengalaman buruk yang mencetuskan trauma dan keturunan, adalah antara yang boleh menjadi punca berlakukan bunuh diri.

Masalah mental bukan punca utama

Pelbagai faktor yang telah dikesan berdasarkan kajian antaranya seperti masalah ekonomi, hutang, konflik keluarga, masalah percintaan, pernah mengalami isu seksual atau menjadi mangsa buli.

Sementara itu, Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Dr Hussain Habil  berkata, apabila seseorang yang mengalami kemurungan menyatakan hasrat ingin membunuh diri, orang yang diberitahu akan memberi galakan kerana menganggap langkah itu sebaliknya akan membuat penderita terbabit membatalkan niatnya.

“Teknik tersebut sebenarnya tidak boleh digunakan kepada orang yang murung kerana mereka memerlukan bantuan bukan dalam cara berkias begitu.”

Pakar psikiatri juga bersetuju bahawa pengangguran, kemiskinan dan kemurungan adalah penyebab utama yang bertanggungjawab terhadap peningkatan belakunya bunuh diri ini.

Pakar psikiatri Lubnan, Dr Shawky Azoury, menjelaskan dalam satu wawancaranya bahawa beberapa orang mungkin mencapai tahap bunuh diri akibat mereka menderita penyakit mental.

Namun, beliau menganggap bahawa penafsiran tersebut tidak sesuai diterima dalam situasi sekarang. Boleh jadi tahap kelaparan, kemiskinan dan penghinaan yang tinggi mendorong seseorang itu untuk membunuh diri, dan di sini hujah untuk bunuh diri bukan kerana alasan psikologi, tetapi kerana kelaparan dan menjaga maruah.

Dalam pada itu, keadaan yang dihadapi sesebuah negara juga memainkan peranan penting bagi kesihatan psikologi masyarakatnya, sebagaimana setelah peristiwa September 11 di Amerika, kes bunuh diri menurun, dan hal yang sama berlaku di Perancis setelah pasukannya memenangi Piala Dunia.

Dengan ini boleh dikatakan bahawa situasi politik, sosial, ekonomi dan bukan psikologi yang lain berperanan dalam meningkatkan atau mengurangkan kes bunuh diri.

Lebih daripada 800,000 orang mati setiap tahun akibat bunuh diri, manakala lebih daripada jumlah ini cuba membunuh diri dan tidak berjaya, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa bunuh diri adalah penyebab kematian kedua utama bagi kumpulan usia antara 15 hingga 29 tahun di seluruh dunia pada tahun 2012.

Dalam laporannya yang melibatkan 172 negara dan mengambil masa satu dekad untuk diselesaikan, menjelaskan bahawa bunuh diri adalah sebagai jalan keluar daripada masalah yang dialami seseorang, yang mendorong mereka melakukannya.

Maka adakah matlamat WHO untuk mengurangkan fenomena bunuh diri sebanyak sepuluh peratus pada tahun 2020 sebagaimana kenyataannya pada 2016 lalu tercapai?

Naib Presiden Penyelidikan di Yayasan Amerika untuk Kawalan Bunuh Diri yang juga pakar psikologi, Jill Harcavi Friedman berkata, memandangkan kepekaan mangsa bunuh diri dan pelbagai motifny, kita tidak dapat mengetahui semua sebab yang menyebabkan seseorang itu membunuh diri.

Al-Quran ada jawapannya

Berikut adalah pendapat Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi daripada kitab al-Halal wa al-Haram fil Islam (541-543) berkenaan dengan isu membunuh diri:

“Semua yang disebutkan tentang jenayah pembunuhan meliputi pembunuhan manusia terhadap dirinya sendiri, sebagaimana meliputi pembunuhan terhadap orang lain. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan apa jua cara sekalipun, samalah dia telah membunuh diri yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya tanpa sebarang hak.”

Kehidupan manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun kerana dia tidak menciptakan dirinya sendiri, begitu juga dengan anggota daripada tubuh badannya atau sebarang sel-sel yang terdapat di dalam tubuhnya.

Oleh yang demikian, diri seseorang manusia itu merupakan barang amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia untuk dipelihara dan kita tidak boleh mensia-siakan amanah itu atau bertindak sesuka hati kepadanya.

Setiap kali berlakunya tragedi bunuh diri, perbincangan dan perdebatan berlaku hingga tercetusnya kontroversi,terutamanya ketika pendapat agama dilontarkan.

Terdapat juga sesetengahnya mempersoalkan, adakah bunuh diri itu berkaitan dengan agama, lebih dekat atau jauh daripadanya? Apakah nasib bunuh diri ini? Hingga ada yang menyatakan bahawa tempat mereka di neraka.

Namun, terdapat juga yang melihat mereka yang terjebak dengan situasi ini berhak mendapat belas kasihan terhadap keadaannya, di dunia dan akhirat.

Menurut Ulama al-Azhar, Sheikh Issam Talimah bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan dialog mengenai perkara ini, tetapi krisisnya ialah segelintir ‘orang agama’ berbicara tentang nasib orang lain bahawa mereka yang bunuh diri itu tempatnya di neraka, seolah-olah mereka adalah ejen Tuhan.

Siapalah kita untuk menentukan semua itu? Amalan kita pun belum tentu cukup untuk menjadikan kita calon ahli syurga. Ada baiknya kita memberikan pertolongan kepada golongan ini sebelum kita meletakkan hukuman kepada mereka mahupun kepada keluarga mereka.

Telah jelas bahawa pembunuhan jiwa dilarang menurut syariah, sama ada orang yang membunuh seseorang secara haram atau membunuh diri sendiri seperti yang dikatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“..Dan janganlah membunuh jiwa yang dilarang oleh Allah SWT kecuali dengan hak…” (Al-An’aam: 151)

“..dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (An-Nisaa’: 29)

Seterusnya Sheikh Issam Talimah berpendapat lagi, orang yang membunuh diri bukanlah orang kafir dan tidak ada bukti yang benar serta kuat untuk mengatakannya, jadi orang yang membunuh orang lain tidak dinilai oleh syariah sebagai orang kafir walaupun Tuhan melarang hamba-Nya melakukannya.

Hakikatnya, tidak ada siapa pun yang mengetahui nasib mereka pada Hari Kebangkitan kecuali Penciptanya. Seseorang itu juga tidak dapat menilai suatu tindakan sesiapa pun yang akan membawa pelakunya ke neraka, kecuali dengan bukti-bukti yang dapat dibuktikan dan mempunyai makna yang pasti menurut al-Quran.

Bunuh diri: Mitos vs fakta

Menurut WHO, terdapat beberapa mitos mengenai bunuh diri yang diterbitkan dalam sebuah laporan yang berjudul ‘Pencegahan Bunuh Diri Adalah Keperluan Global’.

1. Mitos: Kebanyakan bunuh diri berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran.

Kebenaran: Sebilangan besar bunuh diri telah didahului oleh tanda-tanda amaran sama ada secara lisan atau tingkah laku, tetapi tentu saja ada beberapa tragedi bunuh diri yang berlaku tanpa amaran, tetapi perlu untuk mengetahui apakah tanda-tanda amaran ini dan perhatikannya.

2. Mitos: Seseorang yang mempunyai kecenderungan bunuh diri cenderung untuk mati.

Fakta: Sebaliknya, individu dengan kecenderungan bunuh diri sering ragu-ragu antara hidup dan mati. Seseorang boleh bertindak secara impulsif dengan meminum racun perosak dan mati setelah beberapa hari walaupun dia ingin hidup.

Oleh itu, akses tepat pada masanya untuk sokongan psikologi dapat mencegah bunuh diri.

3. Mitos: Seseorang yang pernah berfikir tentang bunuh diri akan selalu memikirkan tentang bunuh diri.

Fakta: Peningkatan risiko bunuh diri seringkali bersifat jangka pendek dan khusus. Walaupun pemikiran bunuh diri dapat kembali, pemikiran itu tidak kekal. Seseorang yang pernah mempunyai pemikiran dan percubaan bunuh diri pada masa lalu dapat meneruskan kehidupan yang seterusnya.

4. Mitos: Hanya orang yang mengalami gangguan mental yang akan membunuh diri.

Fakta: Tingkah laku bunuh diri merujuk kepada rasa tidak senang yang mendalam, tetapi tidak semestinya gangguan mental. Banyak orang yang hidup dengan gangguan mental tidak dipengaruhi oleh tingkah laku bunuh diri dan tidak semua orang yang bunuh diri mengalami gangguan mental.

5. Mitos: Bercakap mengenai bunuh diri adalah idea yang tidak baik dan dapat ditafsirkan sebagai mendorong bunuh diri.

Fakta: Kerana stigma bunuh diri yang meluas, kebanyakan orang yang memikirkan bunuh diri tidak tahu dengan siapa mereka bercakap.

Daripada mendorong tingkah laku bunuh diri, bercakap secara terbuka dapat memberi individu pilihan lain atau masa untuk memikirkan semula pengambilan keputusan seterusnya mencegah bunuh diri.

6. Mitos: Orang yang bercakap mengenai bunuh diri tidak bermaksud untuk melakukannya.

Fakta: Orang yang bercakap mengenai bunuh diri mungkin meminta pertolongan atau sokongan, dan sebilangan besar orang yang menganggap bunuh diri mengalami kegelisahan, kemurungan, dan putus asa dan mungkin merasakan bahawa tidak ada pilihan lain.

Hentikan ‘Joker’ dalam kehidupan ini

Pernah tonton filem Joker? Watak Joker dalam filem tersebut merupakan salah satu contoh individu yang mempunyai masalah kesihatan mental yang tidak dibantu sehingga memaksanya mengambil jalan yang salah.

Arthur Fleck atau Joker sebenarnya boleh dibantu jika masyarakat di sekelilingnya tidak bertindak memulaukannya, memandang serong atau membulinya.

Manakala Gotham City pula digambarkan sebagai perlambangan kepada realiti kehidupan bandar serba moden pada hari ini yang mana golongan kurang berkemampuan yang dihimpit dengan pelbagai desakan hidup berasa teraniaya oleh golongan yang lebih berkuasa.

Disebabkan itu, sebagai manusia yang rasional, masyarakat perlu menghapuskan stigma negatif kepada golongan seperti ini dan seharusnya tampil membantu mereka agar tiada lagi ‘Joker’ yang seterusnya.

 

Tangani bersama

Bunuh diri sering menjadi pilihan terakhir apabila seseorang merasakan bahawa masalah hidup mereka tidak dapat diselesaikan.

Walau bagaimanapun, ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Kita boleh mengelakkan bunuh diri daripada berlaku di persekitaran jika kita mengetahui ciri-ciri dan sebab seseorang ingin menamatkan hidup mereka.

Ini tugas kita bersama. Untuk menghentikan tragedi bunuh diri ini, ia memerlukan peranan semua. Sebagai anggota masyarakat, terdapat pelbagai kaedah untuk kita menolong mereka yang terkesan dengan situasi ini.

Bagi mereka yang mengalami kemurungan atau mungkin juga terfikir untuk membunuh diri, Sneham Malaysia Welfare Association melancarkan satu talian bebas tol 1800-22-5757 untuk memberi kaunseling dan sokongan emosi.

Talian bantuan bebas tol ini beroperasi setiap hari dari jam 4.00 petang hingga 8.00 malam. Talian bantuan bunuh diri ini memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Selain itu, boleh juga menghubungi talian Befrienders Malaysia di talian 03-7956 8145 atau email ke [email protected] bagi mendapatkan bantuan jika ada yang memerlukan sokongan untuk diri sendiri atau memerlukan bantuan menyokong rakan.

Jika anda bimbang tentang rakan, sila galakkan dia untuk menghubungi talian bantuan ini atau layari http://www.befrienders.org/. Selain itu, galakkan bertemu kaunselor dan pakar psikiatri agar mereka dapat mencurahkan segala situasi yang dirinya rasakan.

Kita sebagai pasangan, ahli keluarga, rakan-rakan juga sebahagian daripada masyarakat seharusnya peka mengenai situasi yang dihadapi seseorang di persekitarannya. Beri mereka ruang dan peluang untuk meluahkannya dan jika kita tidak dapat membantu, salurkan mereka kepada pihak yang sewajarnya.

Apa yang pasti, mereka yang ada rasa untuk melakukan bunuh diri ini juga perlu memainkan peranan, berusaha dan bertindak menghentikannya dengan bersungguh-sungguh. Walaupun ia bukan mudah, tetapi ia perlu dilakukan agar tragedi buruk ini tidak lagi mendatangi diri.

Atriza Umar

Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia