Home Nasional 300 pemandu teksi bawah TITP terima lesen

300 pemandu teksi bawah TITP terima lesen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kiri) menyampaikan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Bagi Permit Teksi Individu kepada pemandu teksi pada Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di Ibu Pejabat SPAD, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2017.
KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen bulan depan membolehkan penyeragaman peraturan syarat sewa pajak yang diselia oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan itu termasuk peruntukan bagi hari habis bebas sewa untuk pemeriksaan Puspakom.
“Pindaan ini juga turut melibatkan cuti tahunan, cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan 300 lesen individu kepada kumpulan pemandu teksi kedua di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di pejabat SPAD di Platinum Sentral di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah.
Menurut Nancy, pemberian lesen teksi individu itu adalah satu inisiatif progresif kerajaan dan SPAD untuk membuka jalan bagi menyelesaikan isu serta rungutan pemandu teksi, sekali gus mewujudkan daya saing yang lebih sihat di pasaran masa kini.
Katanya, kumpulan kedua penerima lesen individu itu telah melalui proses saringan yang ketat oleh SPAD dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jelas beliau, penerima lesen itu melibatkan 157 pemandu teksi dan 143 pemandu kereta sewa.
Kata Nancy, daripada jumlah itu, 59 peratus dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 24 peratus dari Pulau Pinang dan Langkawi serta 17 peratus dari Melaka dan Johor Bahru.
“Tambahan lagi 43 daripada penerima lesen individu kali ini turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru.
“Geran ini adalah sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukan oleh kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017,” katanya. – MalaysiaGazette