KUALA LUMPUR – ‘No Anwar, No DAP’ tetap menjadi pegangan Tan Sri Annuar Musa walaupun menyedari ada kelompok dalam UMNO yang cuba mengingkari ketetapan yang dibuat dalam parti.
“UMNO membuat keputusan ‘No Anwar, No DAP’, saya pegang kejap tapi sekarang bukan ada rahsia lagi… sekarang ada orang yang cuba untuk meninggalkan keputusan parti itu dan hendak membawa satu hala tuju yang lain. Saya akan pertahankan pendirian saya, ‘No Anwar No DAP’.
“Begitu juga apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memutuskan bergabung tenaga antara Pas, UMNO dan PPBM (Bersatu) dalam membentuk kerajaan.
“Kita putuskan masuk dalam parti sebagai en-bloc. Kita putuskan dan share vision untuk berada dalam kerajaan, maka apabila ada sesuatu perkara terutamanya yang berkait dengan kerajaan akan dibincang.
“Bila kita jadi menteri… kena jadi menteri yang baik, dalam kabinet kita ada prinsip collective responsibility. Adakah kita nak tengok menteri-menteri UMNO bercanggah dengan menteri-menteri dalam Kabinet?
“Adakah nak tengok menteri-menteri UMNO setelah bentang belanjawan go against belanjawan? Adakah nak tengok menteri UMNO nak ‘bedal’ Perdana Menteri? That’s is not me…,” tegasnya.
Ahli Parlimen Ketereh merangkap Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian pada sesi Wawancara CEPUMAS bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online malam tadi.
Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional dan setiausaha agung bersama Muafakat Nasional berkata, UMNO buat kesilapan pada PRU- 15 dan ditakdirkan tidak menang kerana tidak ada percaturan dan formula maka UMNO sekali lagi menjadi pembangkang dan tidak akan bangkit semula.
Terdahulu, Annuar berkata, apa yang penting ialah melakukan sesuatu mesti berdasarkan kepada falsafah, dasar dan matlamat perjuangan parti.
“Kadang kala sesuatu keadaan bukan keinginan UMNO, tidak pernah diuji ia datang dari UMNO tetapi kerana pembawaan dibawa oleh beberapa tokoh atau beberapa orang, yang dirujuk sebagai ‘warlord’.
“Saya tidak berjuang atas nama mengikut mana-mana individu, itu pegangan saya dari awal. Yang pentingnya kita mesti menghayati apa sebenarnya yang dikehendaki oleh parti kita dan yang menjadi dasar parti kita.
“Sebab itu kadang kala saya dilihat mungkin sebagai berbeza tetapi kadang kala saya juga tertanya saya ini berbeza dengan apa? Kalau berbeza dengan pendapat individu atau pendapat ‘kabilah’… pada saya itu lumrah,” jelasnya.
Beliau juga menekankan UMNO tidak boleh bersendirian kerana politik sekarang ini berbeza dengan politik 20 tahun yang lalu.
Jelas beliau, rakyat sekarang hendak melihat personaliti, integriti dan rakyat hendak lihat perjuangan yang boleh diharapkan sebaliknya bukan atas dasar nostalgia lama.
Untuk berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti bukan dengan cara bergaduh, rebut kerusi banyak, tetapi UMNO, Pas dan Bersatu mesti bermuafakat kerjasama.
“Tanggungjawab UMNO sekarang ini adalah memimpin penyatuan Melayu-Islam supaya kita dapat bentuk sekuat-kuatnya penyatuan dan sekat kemaraan Dap semula dari menguasai kebobrokan yang dibuat.
“Kalau kita hendak kembali menang pada PRU-15, kalau orang Melayu UMNO, Pas dan Bersatu, insya-Allah kita akan menang dengan mudah. Kalau kita nak ubah dan cari formula lain dan apa lagi untuk memilih jalan berpecah itu terpulang, tapi saya akan tetap mempertahankan tanggungjawab UMNO adalah menyatupadukan orang Melayu,” katanya.- MalaysiaGazette