Home Nasional Akses data peribadi, 6 aplikasi pemberi pinjaman online disiasat

Akses data peribadi, 6 aplikasi pemberi pinjaman online disiasat

Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah membuka kertas siasatan terhadap enam aplikasi atas talian pemberi pinjam wang (PPW) haram yang didakwa mengambil data peribadi rakyat tanpa kebenaran.

Dalam kenyataan hari ini, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PPDP) berkata, tindakan tegas itu menyusul ke atas keenam-enam aplikasi atas talian yang tidak berlesen itu dengan kerjasama Sibersekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“JPDP masih lagi menerima banyak aduan berkaitan dengan penyalahgunaan data peribadi oleh aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen.

“Dalam hal ini JPDP, dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media telah membuka kertas siasatan bagi pelanggaran di bawah Seksyen 5 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) ke atas aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aplikasi yang tidak berlesen itu adalah Asialend, Dreamlend, iPayfren, iPinjaman, Helplend4u dan GoCash4u.

Menurut pesuruhjaya itu lagi, sekiranya disabitkan kesalahan, kesemua entiti berkenaan boleh berdepan hukuman didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua aplikasi dalam talian PPW ini didapati telah mengakses dan menyalin maklumat lain termasuk data peribadi yang tidak berkaitan dengan urusan pinjaman tanpa kebenaran peminjam,” katanya lagi.

Sehubungan itu, mana-mana peminjam yang data peribadinya telah disalahgunakan oleh aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen tersebut di atas diseru untuk menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JPDP melalui alamat e-mel
[email protected] atau Sistem Perlindungan Data Peribadi (daftar.pdp.gov.my) bagi membantu siasatan yang dijalankan.

“JPDP amat memandang serius mengenai perkara ini dan mengesyorkan supaya rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati apabila membuat sebarang pinjaman secara dalam talian terutamanya semasa memberikan persetujuan terhadap aplikasi yang telah dimuat turun bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mempunyai akses yang tidak sepatutnya.

“Pada masa yang sama, semua peminjam dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengetahui status pendaftaran PPW yang berkenaan,” tegas pesuruhjaya itu lagi.-MalaysiaGazette