Home Nasional Larang jual arak, pengendali kedai ubat Cina tak perlu risau –...

Larang jual arak, pengendali kedai ubat Cina tak perlu risau – Santhara

KUALA LUMPUR – Pengendali kedai perubatan tradisional Cina di sini tidak perlu risau ekoran perintah larangan penjualan minuman alkohol yang akan bermula pada 1 Oktober tahun depan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, ini kerana pihaknya akan membantu para peniaga premis berkenaan yang menjual perubatan mengandungi alkohol untuk mendapatkan lesen  berkaitan untuk menjual arak di kedai ubat Cina selaras dengan syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Perlesenan Minuman Keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Jason Lau bahawa pasukannya akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan berkaitan dalam proses mendapatkan lesen dengan segera.

“Langkah ini akan membenarkan aktiviti perniagaan dijalankan secara sah selain menambah aliran pendapatan baharu bagi mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Santhara berkata, pihaknya juga akan terlibat dengan peniaga kedai perubatan tradisional Cina bagi mendapatkan cadangan dan pandangan penambahbaikan penguatkuasaan peraturan baharu itu.      

“Saya sentiasa terbuka untuk bertemu dengan persatuan berdaftar yang mempunyai kepentingan untuk memberikan pandangan mereka dalam isu ini selepas  tamatnya pelaksanaan PKPB ini.

“Juga ingin maklumkan kami juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pandangan dan maklum balas mereka turut disertakan dalam garis panduan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras.

Garis panduan itu antara lain menetapkan tiga premis iaitu kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina di sekitar Kuala Lumpur tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober 2021.

Bagaimanapun pengecualian dibuat untuk penjualan alkohol bagi tujuan perubatan tradisional.

Keputusan itu bagaimanapun dipertikaikan oleh pelbagai pihak termasuk persatuan yang menyifatkan larangan tersebut mampu menjejaskan hampir 300 premis perniagaan terbabit yang menjual minuman keras di kawasan itu.

Dalam pada itu, Santhara menegaskan sebelum ini premis-premis perniagaan tersebut tidak dibantu dengan diberikan lesen ketika di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Maka, kini kerajaan Perikatan Nasional akan membantu mereka memperolehi lesen perniagaan itu. Saya diberi jaminan oleh  Jason bahawa pasukannya akan memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan tiada  pihak yang dipinggirkan dalam hal ini. Kami mahu situasi menang-menang untuk semua,” ujarnya.

Sementara itu, Santhara turut menyeru mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan dasar diperkenalkan itu demi kesejahteraan rakyat.

“Tolonglah, utamakan kesejahteraan rakyat, bukan bermain politik. Isu-isu politik kita boleh bawa berbincang dan berdebat di Parlimen. Ada banyak ruang dan peluang di sana,” katanya. -MalaysiaGazette