Home Akhbar Cina Tourism Malaysia alami masalah defisit, berhutang

Tourism Malaysia alami masalah defisit, berhutang

Tourism Malaysia
Tourism Malaysia
KUALA LUMPUR – Tindakan tergesa-gesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengutip cukai pelancongan adalah untuk menyelesaikan defisit yang dialami Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia).
Sumber dalaman memberitahu China Press, Tourism Malaysia gagal mengendalikan kewangannya secara efektif sejak dua tahun lalu dan berbelanja secara berlebihan di China dan Jepun untuk tujuan mengiklan dan mempromosi.
Perbelanjaan tanpa kawalan ketat itu menyebabkan Tourism Malaysia mengalami defisit yang mencecah RM250 juta.
Disebabkan Kerajaan Persekutuan enggan ‘mengambil alih’ hutang itu, keadaan itu menyebabkan Kementerian Pelancongan terpaksa melaksanakan cukai baharu.
“Dalam banyak keadaan, perbelanjaan yang di luar perancangan bajet telah mengambil tempat.
“Aktiviti luar perancangan ini kadang-kala juga membabitkan perbelanjaan yang sangat besar,” kata sumber.
Menurutnya lagi, Tourism Malaysia tidak lain entiti yang indah khabar hanya dari rupa kerana ia sedang menanggung hutang dengan pembekal.
Tourism Malaysia juga pernah meminta bantuan daripada Perbendaharaan tetapi ditolak.
“Dalam keadaan terdesak, Kementerian Pelancongan dipercayai melaksanakan cukai pelancongan tanpa perbincangan dengan penggiat industri pelancongan,” katanya.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada Januari mengumumkan penutupan pejabat-pejabat tertentu.
Baru-baru ini, pelaksanaan cukai pelancongan telah menyebabkan perang mulut antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dengan menteri dari Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. – MalaysiaGazette