Home Nasional Pemaju Melaka Gateway kecewa projek RM43 bilion dibatalkan Kerajaan Negeri

Pemaju Melaka Gateway kecewa projek RM43 bilion dibatalkan Kerajaan Negeri

Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development, Datuk Michelle Ong ketika sidang media berkaitan projek dengan Kerajaan Negeri Melaka di Restoran Yahaya, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 21 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju Pembangunan Melaka Gateway di Pulau Melaka, KAJ Development (KAJD) Sdn Bhd kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Melaka yang menamatkan perjanjian penambakan laut berkuatkuasa 3 Oktober lalu.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KAJ Development (KAJD) Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong mendakwa pihaknya terkejut apabila menerima surat penamatan kontrak itu tanpa sebarang alasan dan notis.

“Kami dengan ini menegaskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Melaka dalam menghentikan Perjanjian Penambakan Tanah sebagai tidak sah, tidak adil, tidak masuk akal dan tidak berperlembagaan.

“Kami ingin sekali lagi menegaskan bahawa apa yang ditamatkan adalah konsesi penambakan tetapi Melaka Gateway bukan hanya projek penambakan tetapi juga keseluruhan projek pembangunan swasta yang telah dirancang dan dikembangkan oleh KAJ Development Sdn Bhd,” katanya pada sidang media, hari ini.

Michelle mengulas mengenai dakwaan kerajaan negeri bahawa perjanjian yang bermula sejak 4 Oktober 2017 itu ditamatkan berikutan syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, syarikatnya telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM700 juta untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Malah 40 peratus syarikat sudah berjalan dengan projek utama telah bermula, ujarnya.

Justeru itu, pihaknya mendesak agar kerajaan negeri memberikan alasan kerana notis yang berikan tidak memperincikan mengapa projek itu dibatalkan.

“Pihak kami diberikan notis itu pada Isnin lalu, dan mereka mengarahkan kami untuk keluar daripada tapak projek dalam masa 14 hari.

“Kami cuba untuk membuat temujanji untuk mendapatkan kepastian tapi gagal. Tiada perbincangan antara kerajaan negeri dengan pihak kami. Kami ada mohon untuk mengadakan pertemuan tapi tiada ada maklum balas,” katanya lagi.

Malah pihaknya juga ada memohon tempoh lanjutan evaluasi namun turut gagal.

Ketua Pegawai Eksekutif KAJ Development, Datuk Michelle Ong ketika sidang media berkaitan projek dengan Kerajaan Negeri Melaka di Restoran Yahaya, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 21 NOVEMBER 2020

Dalam pada itu, Michelle berkata, pihaknya bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang daripada kerajaan negeri berhubung penamatan projek ini.

“Kami masih mahu meneruskan projek ini disebabkan pelabur antarabangsa sudah membuat pelaburan dalam projek ini. Kami sudah labur beratus juta ringgit untuk bangunkan projek ini dan lakukan banyak kajian” katanya lagi.

Untuk rekod, projek pembangunan komersial bercampur ini meliputi kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baru dengan dua daripadanya adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.

Nilai bagi projek berkenaan adalah RM43 bilion.

Projek itu disifatkan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.

Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.

Ia dilancarkan pada Februari 2014 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette