KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewujudkan kuaters untuk pekerja-pekerja warga asing bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di rumah-rumah kongsi di tapak pembinaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini pihaknya sedang berbincang dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan kementerian-kementerian lain berhubung perkara tersebut.
“Kadang-kala mereka (pekerja asing) duduk di bangunan baru siap dibina. Kita tak mahu melihat perkara ini berlaku lagi. Daripada pemeriksaan kita, semuanya tidak sub-standard.
“Gelombang kedua misalnya berlaku penularan di Pavilion Embassy, masalah sama berlaku lagi dalam (kluster tapak bina) Damanlela.
“Ini membuktikan tempat tinggal itu tidak memenuhi piawaian dan syarat boleh mendatangkan bahana kepada peluaran wabak Covid-19,” katanya pada sidang media di Menara DBKL 3, hari ini.
Terdahulu Annuar menyempurnakan Sesi Penyampaian Sumbangan Di Bawah Program Wilayah Cakna 3.0 kepada 450 persatuan penduduk di Kuala Lumpur.
Dalam perkembagan sama, Annuar tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan tempat tinggal berpusat sebagai kuaters pekerja tapak binaan di sekitar Kuala Lumpur.
“Mereka (kontraktor) yang guna pekerja asing mungkin perlu memastikan bebas wabak sebelum dibawa masuk dan mempunyai tempat tinggal yang diluluskan.
“Ia dapat memastikan Kuala Lumpur selamat dan terkawal daripada pandemik Covid-19, walaupun kita tahu berlaku penularan yang angkanya agak tinggi datang dari tapak binaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette