Home Seni Hidup Tumpahnya air mata bekas tentera

Tumpahnya air mata bekas tentera

Saad Mahmud dibantu anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Nur Khunajeha ketika ingin berjalan sekitar rumahnya di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jika lebih dua dekad yang lalu, Saad Mahmud masih gagah berkhidmat untuk negara dengan menjalankan tugas sebagai seorang anggota tentera, kini keadaan beliau jauh berbeza.

Menghidapi sakit buah pinggang, jantung dan darah tinggi hampir setahun, beliau yang berusia 58 tahun tidak lagi mampu bergerak pantas.

Menghidapi beberapa penyakit berkenaan membuatkan Saad longlai, tidak lagi kuat, sebaliknya hanya mampu duduk di kerusi.

Kehilangan isteri lebih kurang setahun lalu yang berpunca daripada sakit buah pinggang, Saad kini dijaga oleh empat orang anak perempuannya yang tinggal sebumbung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas di Setapak.

Air mata bekas anggota tentera itu akhirnya tumpah juga ketika berkongsi kesedihannya dengan MalaysiaGazette kerana kehilangan kudrat untuk menyara keempat-empat anak perempuannya yang mana salah seorangnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Walaupun suatu ketika dulu saya kuat bekerja. Allah dah beri saya dugaan begini saya kena terima.

“Dulu saya bekerja, selepas keadaan saya macam ini, saya rasa sedih patutnya saya masih boleh lagi menyara anak-anak tapi saya tidak dapat dalam keadaan umur saya masih muda saya tidak dapat menyara anak saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Saad berkata, tahap kesihatannya tidak menentu sehingga perlu bergantung dengan ubat selain kerap dimasukkan ke hospital.

“Hari Khamis baru-baru ada juga pergi hospital ambil ubat, mula-mula sebelum itu masuk hospital tujuh hari. Keluar, tak sampai sebulan masuk lagi dua minggu ini,” kata beliau.

Temubual bersama pesara polis tentera, Saad Mahmud di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kg. Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2020.

Pada raut wajah bekas tentera itu, tergambar penghargaan dan rasa terharunya kepada empat anaknya yang sanggup menjaga dan mengutamakannya berbanding kehidupan masing-masing.

“Di rumah ini lima oranglah termasuk saya, anak-anak semua belum kahwin paling dewasa 31 tahun, merekalah yang menjaga saya,” tambahnya.

Enggan menyusahkan anak-anaknya, Saad sentiasa berharap agar beliau kembali sihat, seterusnya tidak bergantung dengan keempat-empat anaknya.

Dalam pada itu, menjadi salah seorang penerima sumbangan Barang Asas 100 (BA100), Saad rasa terharu kerana diingati oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

“Saya rasa terharu Angkasa beri bantuan, masih ada pihak-pihak yang mengingati dan masih ingat kepada orang-orang yang kurang berkemampuan macam saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Cari dan bantulah mereka-mereka yang senasib. Rasanya ramai lagi pesara-pesara yang mengalami nasib yang sama. Ini semua bergantung kepada pucuk pimpinan yang benar2 berintegriti, mulia, ikhlas dan benar2 dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Inn Sya Allah.

  2. Disebabkan statement dari dua orang besar angkatan tentera PENCEN berkenaan ARAK, imej anggota angkatan tentera dan mereka yang telah bersara diakatakan telah rosak teruk? Benarkah?

Comments are closed.