TAWAU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesahkan kejadian samun di laut membabitkan dua nelayan tempatan di perairan Inderasabah dekat sini, semalam.
Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kedua-dua lelaki berumur 30 dan 20 tahun tersebut yang sedang memukat di kawasan itu dihampiri tiga lelaki bersenjatakan parang serta pistol yang menaiki sebuah bot pada 3.40 petang.
“Suspek menyamun enjin bot 15 kuasa kuda, kad pengenalan, wang tunai RM3 dan dua telefon bimbit daripada mangsa
Ahmad Fuad berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kesemua suspek yang bercakap dalam loghat asing itu dipercayai kumpulan penjenayah ‘kelompok dalaman’.
“ESSCom sedang giat mengesan kumpulan itu yang dipercayai masih berada di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya.
ESSCom baru-baru ini menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras kes samun serta rompakan di laut ESSZONE dan penubuhan pasukan itu merupakan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam menangani sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan komuniti maritim. – MalaysiaGazette