PAYA JARAS – Sememangnya sesuatu yang cukup gembira bagi seseorang graduan baharu yang tamat pengajian untuk melangkah ke alam pekerjaan.
Namun realiti pada hari ini tidak semua bernasib baik untuk memiliki kerjaya yang sesuatu dengan jurusan yang menjadi pilihan mereka di universiti atau kolej.
Itulah luahan hati Azizi Arbain, 25, graduan lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Sains Malaysia (USM) ketika di temui pada Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Paya Jaras hari ini.
Kata Azizi, walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal serta berpengalaman lebih setahun dalam bidang itu sebelum ini namun dirinya kini tidak boleh memilih kerja.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai jurutera penyelidik di sebuah syarikat swasta di Kajang dan berstatus kontrak tapi ianya tidak dapat disambung kerana pandemik Covid-19.
“Patutnya kontrak ini sambung sehingga tahun 2022 tapi kerana Covid-19, majikan tidak dapat sambung kontrak kerana projek itu terpaksa dihentikan. Saya kerja hampir dua tahun sebenarnya.
“Saya juga tidak boleh demand, saya bukan diberhentikan tapi keadaan semasa. Sejak beberapa bulan ini tidak bekerja dan telah mula cari kerja sesuai tapi tidak dapat sejak tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lepas.
“Saya hadir beberapa temuduga tapi belum dapat apa-apa lagi, jujur saya cakap memang susah untuk dapat kerja lagi keadaan pandemik seperti ini lagi ianya jadi sukar.
“Ada syarikat terpaksa kurangkan pekerja, ada yang cari pekerja tapi terpaksa pula kompromi gaji serta lain-lain. Memang susah ketika ini, cabaran serta competition juga tinggi buat graduan seperti kami, peluang kecil tapi yang tamat ramai.
“Untuk pilih-pilih kerja mungkin susah sebaliknya ambil apa yang terbaik ketika ini, macam saya cuba dalam bidang pengurusan jika bukan kejuruteraan. Terpaksa. Jangan putus asa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau ditemui semasa Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Saujana Utama dan akan berlangsung di beberapa lokasi lain sehingga Disember dengan tawaran lebih 10,000 pekerjaan hari ini.
Bagi Luqman Al Hakim Hamka, 23, yang baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Perbankan Islam, sememangnya satu cabaran buatnya mencari pekerjaan sesuai dengan apa di pelajarinya dahulu.
“Ayah saya minta saya datang daftar untuk job fair Selangor Bekerja 2020 ini. Ini adalah pengalaman pertama saya tapi saya sudah mula mencari kerja. Memang fokus kepada perbankan Islam.
“Banyak juga resume yang saya hantar sebelum ini. Ada juga saya dapat tapi memang langsung tidak kena mengena dengan target saya.
“Tapi pada masa saya juga fokus kepada jawatan admin atau perbankan lain-lain juga. Tengok apa yang dapat ditawarkan kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Mohd Nazrul Arbain, 24, graduan lepasan Pengajian Islam, dirinya terpaksa mencari kerjaya lain kerana apa yang dilakukan sebelum ini tidak banyak membantunya.
“Saya datang ke sini selepas dapat tahu tentang tawaran-tawaran kerja di tawarkan mungkin lebih ‘kena’ dan tepat dengan pendidikan saya.
“Sebelum ini saya kerja dengan sebuah syarikat swasta digital dan bertugas melakukan penjualan online. Saya terpaksa berhenti bulan lepas untuk naïf taraf kerjaya.
“Susah sangat dapatkan pekerjaan pada masa ini, kita memang langsung tidak boleh demand walaupun ada taraf pendidikan baik, secara faktanya memang susah dapat kerja dengan apa yang anda belajar sebelum ini.
“Tidak boleh sangat berharap dan terima sahaja kerana kita hendak kerja. Saya belajar pengajian Islam tapi akhirnya hanya dapat kerja digital online memang jauh beza dan tidak menentu.
“Kawan-kawan saya yang lain juga senasib saya, tidak dapat apa yang mereka belajar sebelum ini sebaliknya mengikut kehendak ekonomi ketika ini. Ramai juga kena buang kerja,” katanya.- MalaysiaGazette