JAKARTA – Katil di hospital-hospital Bandung semakin kehabisan dengan hampir 88.6% kapasitinya sudah dipenuhi dengan pesakit Covid-19.
Setiausaha Bandar Bandung, Ema Surmana berkata, penempatan katil di hospital-hospital melonjak berbanding 32.5% pada dua bulan lalu.
Bandung mempunyai sebanyak 704 katil untuk pesakit Covid-19 di 27 wilayahnya.
Ema berkata, beliau telah memerintahkan ketua-ketua daerah Bandung untuk mendirikan kemudahan di kawasan masing-masing untuk menempatkan pesakit Covid-19 dengan gejala ringan.
“Kami tidak dapat menolak mana-mana pesakit dari luar bandar hanya kerana kekurangan kemudahan kesihatan,” kata Ema pada hari Rabu.
Bandung telah mencatatkan sebanyak 2,689 kes Covid-19 yang disahkan pada hari Khamis, dengan 2,219 orang pesakit pulih dan 107 kematian.
Lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Bandung adalah pada 17 dan 18 November, masing-masing dengan 144 dan 146 kes baharu – tertinggi sejak bulan Mac.
Ketua Agensi Kesihatan Bandung, Rita Verita berkata, penduduk Bandung perlu mematuhi arahan ketat termasuk kuarantin pengunjung dari zon merah dan kawasan yang mempunyai kadar jangkitan tinggi. – MalaysiaGazette