KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong penuh penubuhan Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia membolehkan dokumen sulit berhubung kontroversi tersebut dapat disemak semula.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, RCI mempunyai kuasa perundangan untuk mengakses semua dokumen BNM berhubung isu kerugian yang dialami sekitar 1980-an dan 1990-an dan berbeza dengan pasukan petugas khas diterajui oleh Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebelum itu yang mempunyai kuasa lebih terhad.
“Pasukan petugas khas tidak mempunyai kuasa perundangan, boleh panggil saksi tapi tidak boleh check dokumen Bank Negara dan sebagainya mereka tidak boleh sebab banyak dokumen itu dianggap sulit dan sebagainya.
“Dan ia tidak boleh disemak oleh pasukan petugas khas ini, jadi RCI mempunyai kuasa untuk menyemak dokumen ini,” katanya semasa ditemui semalam selepas menghadiri Program Jom Moreh yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak di sini malam tadi.
Kabinet semalam juga turut mengumumkan penubuhan RCI tersebut bagi membolehkan siasatan diteruskan memandangkan Petugas-Petugas Khas (PPK) mendapati wujud kes prima facie bagi kerugian BNM.
Justeru, Ismail Sabri berharap penubuhan RCI ini segala kebenaran berhubung skandal mata wang tersebut dapat diketahui memandangkan wujud banyak versi yang menyebabkan wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat khususnya.
“Saya harap dengan adanya tertubuhnya RCI nanti segala kebenaran dapat diketahui oleh rakyat semua tentang isu melibatkan forex ini. Isu ini isu lama sejak daripada dahulu lagi tapi berbagai versi telah pun dikeluarkan terutama dari segi jumlah kerugian dan sebagainya, rakyat masih tidak tahu berapa sebenar jumlah kerugian yang katanya besar, jauh lebih besar dari didedahkan selama ini,” ujarnya.
Menurut Ismail lagi, penglibatan BNM dalam skandal tersebut adalah di luar bidang kuasanya dan mendakwa wujud campur tangan pihak yang berkuasa waktu itu untuk menutup kes tersebut.
“Seperti kita tahu apa yang berlaku di luar bidang kuasa Bank Negara sebenarnya, penglibatan Bank Negara itu bertentangan dengan akta Bank Negara itu sendiri, jadi kalau tindakan bertentangan dengan akta tentu ada pihak tertentu di belakangnya yang mengarahkan spekulasi mata wang asing itu dilaksanakan, tentu ada pihak yang kuasanya besar untuk memberikan kebenaran
“Apabila kes ini berlaku, kita nampak seperti ada tindakan hendak menutup atau cover up sebab jawapan dalam Parlimen pun tidak menceritakan perkara sebenar, jadi rakyat juga mahu tahu siapa yang mengarahkan cover up tersebut,” ujarnya.
Kata Ismail lagi, hanya dengan RCI sahaja segala misteri dapat dirungkai kerana ia akan dikendalikan oleh sebuah kumpulan bebas dan berkecuali yang akan menyiasat serta memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan nanti.
“RCI ini amat penting kerana ia sebuah badan yang bebas dan dianggotai golongan profesional yang berkecuali sepenuhnya dan RCI ini akan dilantik Yang diPertuan Agong dan ianya mempunyai kuasa perundangan untuk memanggil saksi melihat dokumen secara detail dan sebagainya.
“Jadi saya rasa kalau kita hendak perkara ini benar jelas dan rakyat nak tahu apa yang berlaku sebenarnya maka RCI adalah badan sebaiknya untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku dengan isu forex ini,” katanya.
Isu kerugian urus niaga mata wang asing BNM itu dibangkitkan semula oleh bekas Penolong Gabenor BNM Abdul Murad Khalid yang mendakwa kerugian itu lebih banyak berbanding RM9 bilion yang dilaporkan dalam laporan tahunan bank pusat itu pada tahun 1994.
Murad juga mendesak bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, dipanggil untuk soal siasat.
Anwar ialah timbalan kepada Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri pada masa itu, ketika BNM aktif dalam spekulasi dalam pasaran urus niaga mata wang asing pada 1980-an.
Kerugian urus niaga mata wang asing itu dilaporkan pada tahun 1991 hingga menyebabkan gabenor BNM pada masa itu, Jaffar Hussein meletakkan jawatan.- MalaysiaGazette