Home Nasional Pastikan kuaters pekerja asing berdaya maju, tidak bebankan kontraktor

Pastikan kuaters pekerja asing berdaya maju, tidak bebankan kontraktor

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepda media selepas Majlis Penyampian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang. foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan kuaters yang akan dibina untuk pekerja asing dalam sektor pembinaan berdaya maju dan tidak membebankan kontraktor mahupun majikan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya bayaran yang dikenakan terlalu tinggi, ia dikhuatiri membebankan kontraktor dalam penyediaan tempat tinggal pekerja asing.

“Kita nak tengok kadar bayaran yang menjadikan projek itu berdaya maju.

“Kalau terlalu tinggi mungkin membebankan mereka, kalau terlalu rendah, tiada siapa nak buat dan tak berdaya maju.

“Bila mereka duduk setempat, ada perkara-perkara lain, bukan setakat tempat tinggal, misalnya bekalan makanan dan pengangkutan ke tapak-tapak binaan perlu penelitian lanjut,” katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu lalu, Annuar mendedahkan kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewujudkan kuaters untuk pekerja-pekerja warga asing bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di rumah-rumah kongsi di tapak pembinaan.

Menurut Annuar, ketika ini pihaknya mendapati terdapat pekerja warga asing menjadikan tapak binaan termasuk bangunan yang baru siap sebagai tempat tinggal mereka.

Dalam perkembangan sama, pihaknya akan dikunjungi beberapa pihak swasta untuk membentangkan beberapa cadangan pembinaan kuaters pekerja itu pada minggu ini.

“Hari ini saya beritahu Datuk Bandar dan Perbadanan Putrajaya untuk membuat penelitian berdaya maju untuk kita mengadakan tempat sedemikian

“Malah minggu ini pun ada pihak swasta tampil untuk mengemukakan cadangan-cadangan pengwujudan kawasan-kawasan atau kuaters pekerja-pekerja asing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette