KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) masih mengesan segelintir warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan bersebelahan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menguatkuasa undang-undang, namun masih ada pekerja asing yang berniaga di kaki lima sekitar bangunan bersebelahan.
“Mereka berniaga di tempat yang dilarang secara curi-curi termasuk peniaga warga asing yang tidak dibenarkan berniaga sama ada di dalam atau di luar PBKL.
“Tempat meniaga ini penting dan jika menimbulkan kekotoran, menghalang lalu lintas atau siar kaki maka ia perlu dipantau oleh DBKL,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan mural dan grafiti PBKL, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.
Dalam perkembangan sama Annuar berkata, sebanyak 100 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang sekeliling PBKL sebagai langkah pemantauan kawalan dan keselamatan.
“Bukan hanya dalam pasar borong tetapi di sekelilingnya juga supaya aktiviti di luar kawasan dapat dipantau selain penugasan unit bergerak penguatkuasaan ke arah kawalan yang lebih baik.
“Masih ada aktiviti yang langgar peraturan dikesan, namun saya harap ia dapat dibaiki dari semasa ke semasa oleh DBKL,” katanya lagi. – MalaysiaGazette