Home Nasional Pekerja kilang maut, dua motosikal bertembung

Pekerja kilang maut, dua motosikal bertembung

Keadaan mangsa yang bergelimpangan di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 26 di Shah Alam, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kilang pemasangan kereta maut setelah motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 26 di Shah Alam, pagi tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu menyebabkan Azinor Isma Salim, 40, maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Xmax bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Shah Alam.

Katanya, motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohd. Azirul Hanafie Omar, 21, memboncengkan wanita warga Indonesia dikenali Wijayantidiyahayu berusia 22 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati mangsa yang tinggal di Puchong dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di sebuah kilang pemasangan kereta.

“Kemalangan mengakibakan mangsa maut di tempat kejadian manakala penunggang dan pembonceng pula cedera parah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut manakala mayat Azinor Isma dihantar ke Hospital Shah Alam.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette