Home Ekonomi Hanya 20% peruntukan boleh dibelanjakan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

Hanya 20% peruntukan boleh dibelanjakan jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Hanya 20 peratus daripada keseluruhan belanjawan, iaitu ‘perbelanjaan penuh’ yang pada dasarnya adalah pencen dan pembayaran hutang,  yang boleh dibelanjakan sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Bank pelaburan itu berkata, menurut Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu dialog pada Jumaat minggu lepas, baki 80 peratus termasuk operasi perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, undang-undang dan ketenteraman, perlu diluluskan oleh Parlimen.

“Jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Parlimen, Belanjawan 2021 baharu atau yang disemak semula perlu dibentangkan dan diluluskan sebelum akhir tahun ini untuk mengelakkan kelewatan ke tahun depan,” kata Maybank IB yang memetik Tengku Zafrul, dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata, menurut menteri kewangan, penggunaan Seksyen 102(a) Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan sebahagian daripada belanjawan dibenarkan apabila tidak ada masa yang mencukupi untuk meluluskan belanjawan sebelum bermula tahun kewangan baharu.

“Ini berlaku pada 1999 apabila Parlimen dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum selepas pembentangan Belanjawan 2000, dan satu sidang khas Parlimen diadakan sebelum penghujung 1999 selepas pilihan raya umum untuk meluluskan sebahagian belanjawan bagi tahun 2000.

“Bagaimanapun, tidak ada kebiasaan untuk meluluskan sebahagian belanjawan selepas penolakan belanjawan,” kata Maybank IB.

Parlimen akan mengundi Belanjawan 2021 pada Khamis (26 Nov). – MalaysiaGazette