Home Nasional 807 ditahan ingkar SOP, 747 dikompaun – Ismail Sabri

807 ditahan ingkar SOP, 747 dikompaun – Ismail Sabri

Seramai 759 individu ditahan polis semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 807 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 747 individu dikompaun manakala 52 lagi direman dan baki lapan orang diberi jaminan polis.

Lebih separuh yang ditahan semalam adalah berkaitan aktiviti pusat hiburan (475), tidak memakai pelitup muka (103), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (87), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (69), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (35).

Dalam pada itu, seramai 85 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan di dalam Operasi Benteng, semalam.

Turut dirampas adalah tiga buah kenderaan darat.

“Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya semasa sidang media hari ini.- MalaysiaGazette