Home Pendapat Adap pemimpin

Adap pemimpin

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pernah dikecam kerana membuat kenyataan peristiwa Lahad Datu adalah sandiwara.

DI dalam sistem demokrasi, ia dikatakan akan mencapai kematangan selepas satu kitaran penuh pertukaran kerajaan berlaku. Sedar atau tidak, Malaysia telahpun memenuhi kriteria tersebut.

Kita bertukar kerajaan dari Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan pada Mei 2018, dan bertukar daripada Kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional pada Febuari 2020.

Kitaran penuh ini bukan saja mempengaruhi parti-parti politik malah ia turut mempengaruhi dan memberi kesan kepada rakyat. Antara kesan terbesar yang kita dapat lihat pada rakyat adalah kita semakin celik politik, semakin vokal terhadap kepimpinan malah semakin kritikal terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan para pemimpin baik dari aspek politik, korporat malah NGO.

Pemimpin yang populis dan tidak menjaga tutur kata akan dikritik dan dikecam secara terbuka di media sosial. Rakyat sudah tidak lagi angguk-angguk dan geleng-geleng.

Ini dapat dilihat di dalam beberapa siri ucapan dan penulisan yang dibuat oleh beberapa pemimpin. Contohnya YB Mohamaddin Ketapi ketika kempen PRN Sabah yang menyatakan peristiwa Lahad Datu adalah sandiwara menerima kecaman hebat di media sosial. Begitu juga kenyataan populis Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal yang menyeru BNM supaya mencetak lebih banyak duit buat rakyat. Hari ini pula Dato Arshad Raji, pemimpin NGO veteran Patriot menerima kecaman akibat kenyataan yang memperkecilkan masalah penjualan arak yang dibandingkan dengan perbuatan rasuah.

Pemimpin korporat juga tidak terlepas dari kecaman ini. Contoh terdekat yang kita boleh lihat ialah Datuk Seri Megat Shahriman, presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang digantung selama 18 bulan daripada sebarang aktiviti hoki berkuatkuasa serta-merta isu menanyakan wang sponsorship. Datuk Seri Megat juga merupakan presiden Majlis Paralimpik Malaysia dan ahli lembaga MARA. Patutkah pemimpin terpalit tuduhan sebegini menerajui badan-badan penting negara?

Kesemuanya mendapat kecaman teruk rakyat marhaen dari segala lapisan masyarakat di sosial media. Kematangan politik dipersoalkan. Jelas hari ini, rakyat lebih prihatin. Rakyat menolak ketua atau pemimpin yang tidak menjaga adab dan kata-kata, atau tata tertib menggunakan jawatan sebagai batu loncatan untuk diligat hebat di kancah politik. Tindakan sebegini rata-rata menunjukkan kurang kematangan menjaga persepsi oleh ‘aspiring Malay leaders’.

Tak kurang juga pemimpin yang memperlekehkan adat berkata benar. Dari segi sijil akademi. Dari segi amanah kerja. Dan macam-macam lagi.

Adab itu cermin budaya. Pemimpin yang membelakangkan adab tidak mungkin dapat membangunkan bangsa. Apatah lagi pemimpin bertaraf negara – buruk padahnya apabila mereka yang tidak mencerminkan aspirasi adat dan adab Melayu – mereka sama sekali tidak patut mewakili TERAJU, MARA, PNB atau mana-mana badan yang menjaga kepentingan Melayu.

Pepatah Melayu tentang ciri-ciri seorang yang dinamakan ketua amat jelas:

Yang dikemukakan oleh rakyatnya
Yang dimuliakan oleh kaumnya
Yang didudukkan pada patutnya
Yang ditegakkan pada layaknya
Yang dikukuhkan dengan adatnya
Yang ditinggikan dari orang banyak
Yang didahulukan dari orang ramai
Yang diutamakan dari orang biasa
Sesuai menurut adat lembaga

Dan pantang larangnya pula amat khusus dalam pepatah Melayu:

Adat terhadap yang dituakan,
Pertama pantang berbalik belakang
Kedua pantang bercakap temberang
Ketiga pantang dikebelakangkan
Keempat pantang direndahkan
Kelima pantang disia-siakan
Keenam pantang dipermainkan
Ketujuh pantang dipermalukan
Kelapan pantang dilangkahkan

Cukuplah kita dipersenda kerana ketua yang terpilih tidak menunjukkan kualiti yang terunggul. Tercontoh. Termulia.

Berbalik kepada isu pemimpin kita hari ini, eloklah jika Wan Ahmad Fayshal lebih fokus pada isu membangkitkan sukan dan golongan belia. Sudah ada yang ditugaskan menjaga hal ehwal kewangan negara. Diharap Datuk Seri Megat Shahriman tidak jadikan kesemua badan sukan yang diketuai batu loncatan seperti yang digemburkan netizen. Sukan ini amat penting untuk memberi semangat dan kebanggaan negara. Dato Arshad pula, janganlah ‘political leanings’ memberikan pandangan ‘‘knee jerk reaction”

Semoga badan-badan yang menjaga hal ehwal pucuk kepimpinan dunia Melayu lebih prihatin dan bertindak tegas dengan tokoh-tokoh yang mewakili masyarakat kita.

Pemimpin yang kita pilih adalah cermin masyarakat hari ini.

Jika mereka itu intan, intanlah kita. Jika arang, aranglah kita.

Jamalee Bashah
Presiden Persatuan Patriots Malaysia