PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan Rantau ASEAN (ASEAN Regional Reserve of Medical Supplies -RRMS) dan penubuhan Pusat Kesihatan Awam dan Kecemasan ASEAN (ACPHEED) untuk mengelakkan beban yang lebih besar terhadap sistem kesihatan pada masa depan.
Ia termasuk kesediaan mendepani pandemik Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerjasama dua hala dan serantau itu kini bertambah penting berbanding keadaan sebelum ini.
“Sehubungan itu semua negara anggota ASEAN+3 perlu meneruskan usaha padu pengukuhan kerjasama dan kolaborasi dalam bidang kesihatan serantau.
“Kita perlu bekerjasama untuk memastikan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bekalan perubatan yang penting,” katanya dalam kenyataan rasminya yang dikeluarkan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Adham berkata, ketika Malaysia mengalami gelombang pertama Covid-19 pada awal tahun ini, negara anggota ASEAN+3 antara yang terawal menawarkan bantuan dan sokongan.
Menurutnya, kerajaan menghargai tawaran kerjasama dan sokongan yang diberikan itu walaupun mereka juga menghadapi masalh pandemik yang sama di negara masing-masing.
“Malaysia juga berterima kasih kepada Republik Rakyat China kerana menghantar pasukan pakar perubatan pada April lalu. Semasa lawatan itu, Malaysia dapat berkongsi dan bertukar maklumat serta pengalaman dengan pasukan pakar perubatan dalam pengesanan, pengawasan dan rawatan Covid-19 di negara ini.
“Justeru, Malaysia juga mengalu-alukan dan tetap terbuka untuk berkongsi pengalaman dan pencapaiannya serta belajar dari amalan terbaik antara negara anggota ASEAN kita dan juga China,” tegas beliau.-MalaysiaGazette