RAWANG – Dua daripada lapan struktur haram yang dibina di atas tanah kerajaan Selangor bersebelahan Sungai Rawang dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini hari ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, ia dilakukan sebagai langkah pencegahan pencemaran sungai yang berlaku di kawasan itu.
“Ya, memang, Sungai Rawang ini akan mengalir ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor, jarak agak jauh lebih kurang 20 kilometer.
“Kawasan sini selalu berlaku pencemaran, kita fokus kepada bengkel-bengkel jentera berat di mana sebelum ini ada dua kes pencemaran sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Dato Lim Kim Sai hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.
Menurut Loy Sian, perobohan dua struktur haram itu hari ini melibatkan bengkel penyelenggaraan jentera berat yang dibina lebih 15 tahun lalu.
“Ini merupakan tanah kerajaan, mereka menduduki sini lebih 15 tahun sudah lama, boleh tengok bengkel ini macam uzur.
“Di sebelah sana, struktur yang baru dipasang, hari ini kita akan buat sini satu dan sana satu, semua kita akan robohkan hari ini,” jelasnya.
Selain itu, enam lagi struktur haram akan dirobohkan secara berperingkat sehingga 31 Disember ini, di mana dua daripadanya adalah kilang kitar semula dan empat lagi bengkel jentera berat.
“Kita harap dalam masa terdekat lapan kilang ini akan dirobohkan dengan berperingkat-peringkat. Jarak kilang dengan sungai dekat sahaja hanya beberapa kilometer.
“Walaupun kita perlu masa untuk roboh, kena mahu pastikan semua operasi mereka sudah berhenti,” jelasnya.
Dalam pada itu, perobohan itu dilakukan selepas pihaknya melalui MPS sudah memberi notis yang secukupnya sejak September lalu.
“Sebelum ini, setiap kali kita bagi notis, mereka bagi banyak alasan duduk di sini sampai sekarang. Sekarang kita tak bagi muka lagi.
“Kita akan teruskan meroboh dan kita bagi peluang terakhir untuk mereka pindahkan keluar barangan sebelum kita buat perobohan secara besar-besaran,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette