
RAWANG – Perobohan lapan struktur haram membabitkan bengkel jentera berat dan kilang kitar semula di sepanjang Sungai Rawang dilakukan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, dua bengkel haram di Kampung Dato Lee Kim Sai dirobohkan dalam operasi bersepadu hari ini.

“Bengkel ini beroperasi lebih 15 tahun didirikan tanpa kelulusan sementara MPS, notis perobohan telah diserahkan sejak September lalu.
“Operasi diketuai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan MPS membantu dengan kekuatan anggota serta jentera.
“Ia turut dibantu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Dato Lee Kim Sai hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian.
Difahamkan, selain bengkel jentera berat didirikan di atas tanah Kerajaan Negeri Selangor, pemilik bengkel juga turut didapati menceroboh tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Bengkel di hadapan ini didapati membuat sambungan struktur tambahan secara haram dan memasuki tanah keretapi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dua bengkel jentera berat haram tepi Sungai Rawang dirobohkan