KUALA LUMPUR – Gabungan Pembela menuntut agar semua Ahli Parlimen untuk memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara serta sejajar dengan saranan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, walaupun Pembela bukan bersetuju dengan segala yang dicadangkan tetapi yakin ada cara untuk mengubah intipati belanjawan tanpa menggagalkannya.
Menurutnya, Pembela mahu mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen bahawa rakyat marhaen yang sedang dalam kesusahan mengharungi tempoh-tempoh getir sepanjang krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.
”Perbalahan serta perebutan antara pemimpin dan parti politik terutamanya apabila dikhabarkan usaha-usaha bagi menggagalkan Belanjawan 2021 ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta berlawanan dengan titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini,” katanya.
Ketidakstabilan ini boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat.
Sedangkan, katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya menjadi pengajaran agar tidak mengulanginya dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pula.
”Kami pasti ahli-ahli politik juga menyedari akan hal ini agar ada kepekaan untuk mengutamakan rakyat dan negara dari kepentingan diri atau parti masing-masing,” ujarnya sambil menambah rakyat sudah muak dengan perbalahan politik yang hanya menguntungkan pihak-pihak dan individu-individu tertentu,” ujarnya.
Tambah Aminuddin, jika politik negara stabil, PRU akan diadakan juga sekitar dua tahun lagi, oleh itu, ahli-ahli politik perlu bersabar kerana tempoh tersebut tidaklah begitu lama tetapi mungkin cukup untuk rakyat menstabilkan kehidupan mereka dalam mengharungi krisis yang melanda. – MalaysiaGazette