KUALA LUMPUR – Peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2021 akan diagih mengikut formula yang mengambil kira bilangan serta kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, formula itu adalah bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan peruntukan sebanyak RM620 juta khusus untuk menyelenggara sekolah di bawah pengendalian Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.
“Semasa sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, KPM telah memohon supaya diberi tanggungjawab untuk menentukan agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah pengendalian KPM.
“Ini bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira bilangan dan jenis sekolah,” katanya menerusi taklimat peruntukan Belanjawan 2021 kepada media di sini hari ini.
Radzi berkata, sehingga kini, terdapat 10,223 sekolah di bawah pengendalian KPM yang terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan.
Ia meliputi jenis sekolah bagi kedua-dua kategori iaitu Sekolah Kebangsaan (SK); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); Sekolah Mubaligh; Sekolah Conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sehubungan itu, Radzi berkata, dalam menggunakan formula tersebut, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta untuk SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.
“Sementara RM74.07 juta bagi SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan; SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta; serta Sekolah Mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM20.94 juta.
“Selain itu, Sekolah Conforming kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebanyak RM12.23 juta,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah kementerian dalam mengagihkan perbelanjaan ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19, Radzi berkata, pihaknya mahu melihat penyelenggaraan tersebut dibuat secepat mungkin menjelang awal tahun hadapan.
Katanya, KPM akan cuba agar kaedah yang diguna itu dilaksana dalam kadar segera khususnya terhadap sekolah yang benar-benar memerlukan penyelengaraan.
“Kita nak buka balik sekolah 20 Januari 2021. Mungkin waktu itu terlalu awal tapi kita susun siap-siap perancangan, sekolah mana perlu penyelenggaran kritikal, maka ianya dapat dilaksanakan.
“Apa yang penting penyelenggaraan itu dilaksanakan. Ada banyak bajet tapi tak pakai tak guna, apa yang kita nak pastikan kita guna sebaiknya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette