KUALA LUMPUR – Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) mahu mandat rakyat yang dirampas pada Februari lalu melalui ‘Langkah Sheraton’ di kembalikan.
Gabungan itu yang menyerahkan memorandum mengenai perkara tersebut kepada Istana Negara turut memohon supaya Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk menerima mengadap semua ketua-ketua parti politik yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Koordinator GBMRM, Mustafa Mansor berkata, menerusi memorandum itu beberapa permohonan telah dinyatakan bagi penelitian YDPA berikutan keresahan rakyat dengan keadaan politik tidak menentu di negara ini.
“Mandat rakyat telah dirampas jelas bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen di negara ini. Kita mohon supaya diperkenankan Tuanku untuk bertemu dengan ketua-ketua parti politik menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kamu juga mohon untuk melindungi pentadbiran istana kerana timbul tanggapan negatif ada kakitangan istana telah didalangi oleh individu-individu yang diarah untuk menjaga kepentingan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Malah ada kami nyatakan juga bagaimana tindakan mengejutkan dari pihak kerajaan PN yang secara terbuka menolak keputusan YDPA dan Raja-Raja Melayu yang menolak cadangan darurat baru-baru ini.
“Ini semua antara yang kita nyatakan dalam memorandum kami kepada YDPA pada hari ini,” pada sidang media di pekarangan Pintu 2, Istana Negara, di sini, hari ini.
GBMRM merangkumi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Otai Reformis 98, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pertubuhan Ikatan Cendekiawan Muslim Malaysia (ICMA).
Menurut Mustafa, pihaknya telah menyarankan supaya pelantikan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dilantik oleh YDPA supaya tidak ada lagi isu berat sebelah.
“Isu berat sebelah jika ianya lantikan oleh parti politik.
“Kita juga mahu menuntut tindakan sewajarnya diambil terhadap beberapa wakil rakyat serta Speaker Dewan Rakyat yang menunjukan perilaku tidak beradab serta membelakangkan tatacara mesyuarat,” ujarnya. – MalaysiaGazette