KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu disyorkan memotong gaji dan elaun Menteri Besar sebanyak 20 peratus, Exco 15 peratus dan 10 peratus bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kegunaan barisan hadapan dalam menangani penularan COVID-19.
ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyarankan pemotongan gaji dan elaun itu dibuat selama tiga bulan dan hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam satu tabung untuk tujuan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2021 pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Selain itu, beberapa ADUN turut menyarankan agar kerajaan negeri meneliti semula belanjawan tersebut dengan memberi lebih banyak bantuan kepada golongan B40 serta mereka yang terjejas.
Semalam, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.375 bilion bagi Belanjawan 2021 berbanding RM1.832 bilion pada tahun ini.
ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat pula berkata, meskipun memahami berlaku pengurangan pendapatan negeri akibat situasi semasa namun tidak sepatutnya mereka yang terjejas diabaikan.
“Bajet yang diumumkan oleh Menteri Besar semalam lebih kurang sama seperti belanjawan sebelum ini sedangkan sepatutnya diberi tumpuan tentang masalah COVID-19.
“Ramai hilang pekerjaan, apatah lagi anak muda yang baru berumah tangga. Awal tahun hadapan akan lebih mencabar kerana sesi persekolahan mungkin akan bermula. Belanjawan ini tidak menampakkan kesungguhan ke arah itu (bantuan),” katanya.
Rozi berkata, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan pemberian bantuan sekali bayar kepada golongan muda yang terjejas dan memberi moratorium ke atas pinjaman dan sewa rumah mampu milik serta premis kerajaan Terengganu.
“Nak bagi duit mungkin tiada tapi sekurang-kurangnya berilah mereka moratorium dalam tempoh sehingga tiga ke empat bulan. Kerajaan juga boleh menaikkan peruntukan dalam tabung usahawan Terengganu daripada RM5 juta kepada RM10 hingga RM20 juta,” katanya.
ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman turut senada dengan Rozi terutama dalam menyediakan pekerjaan kepada anak muda yang terjejas ketika penularan COVID-19 sejak Mac lalu.
Katanya, menerusi Belanjawan 2021 kerajaan negeri tidak menyatakan inisiatif mewujudkan peluang pekerjaan sebaliknya hanya menyediakan kursus dan bimbingan sahaja. – Bernama