Home Utama PNB umum dividen ASN 2 dan ASD

PNB umum dividen ASN 2 dan ASD

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) menunjukkan agihan pendapatan selepas Taklimat Laporan Prestasi Separuh Pertama 2017 dan Pengemuman Pengagihan Pendapatan Amanah Saham Didik (ASD) dan Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 JUN 2017

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan dividen 3.1 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ASN 2 telah mencatatkan dividen sebanyak lima peratus yang menyumbang kepada Jumlah Pulangan berjumlah 11.9 peratus setakat ini

Katanya, prestasi kukuh ASN 2 adalah sejajar dengan strategi pemfokusan semula terhadap Dana Harga Berubah-ubah untuk menawarkan Jumlah Pulangan (Total Return) kepada pemegang unit selain pulangan dividen semata-mata.

“Ini membolehkan pulangan jangka panjang yang lebih mampan untuk pelabur dan membolehkan harga unit dana berubah untuk meningkat dari semasa ke semasa sementara meminimumkan risiko menurun di bawah paras dan kualiti portfolio dioptimumkan memandangkan kurangnya tekanan untuk melepaskan saham yang baik semata-mata untuk memberikan dividen,” katanya semasa mengumumkan prestasi separuh tahun PNB serta agihan pendapatan ASN 2 dan Amanah Saham Didik (ASD) di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, pengagihan pendapatan dikira berdasarkan unit yang dipegang pada hari terakhir tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun 2017.

Pembayaran agihan pendapatan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2017.

Dalam pada itu, PNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan dana harga tetap Amanah Saham Didik sebanyak 6 sen seunit yang melibatkan pembayaran sebanyak RM332.7 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pembayaran tersebut bakal memberi manfaat kepada hampir 300,000 pemegang akaun yang memegang 5.54 bilion unit.

Setakat 31 Mei 2017, ASD telah mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM275 juta yang sebahagian besarnya diperoleh melalui keuntungan modal (RM201.85 juta) dan pembayaran dividen (RM108.88 juta).

Sementara itu, pemegang unit yang melanggan ASD dan ASN 2 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP akan memperoleh agihan pendapatan yang dikreditkan terus ke dalam akaun KWSP masing-masing.

Pemegang unit boleh mengemaskini akaun mereka apabila urusniaga bermula semula pada 3 Julai 2017.- MalaysiaGazette