KUALA LUMPUR – Polis memburu tiga warga tempatan yang dikenalpasti menganggotai kumpulan penyeludup dari Thailand yang melakukan serangan bersenjata api ke atas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis awal pagi tadi menyebabkan seorang anggota pasukan keselamatan itu terbunuh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, seramai 13 orang yang majoritinya warga Thailand terlibat dalam insiden jam 3.30 pagi itu.
Katanya, kumpulan itu merupakan antara tujuh kumpulan penyeludup Thailand aktif menyeludup daun ketum dan ubat batuk yang dilakukan secara barter dengan menggunakan lorong tikus.
Menurut Abdul Hamid, maklumat risikan awal narkotik mendapati akan berlaku penyeludupan keluar masuk ketum dan ubat batuk menerusi pertukaran sistem barang seperti syabu, heroin, yaba (Pil Kuda) dan ganja.
“Rentetan itu pasukan anggota Komando 69 (VAT69) diturunkan untuk operasi pemantauan dan risikan rapi dua hari lalu selepas mengesahkan bakal berlaku penyeludupan besar-besaran dua tiga hari lagi.
“Rentetan itulah sebelum ini dua kali iaitu pada 12 dan 15 November lalu penyeludup pernah menembak pos kawalan PGA dan anggotanya di sempadan menggunakan pistol angin sebagai menakutkan kita selepas terlalu marah dan bertambah agresif dengan tahap kawalan ketat kita di lorong tikus panas itu.
“Maka Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Narkotik Perlis juga sudah bermesyuarat dan mengumpul maklumat merancang untuk melumpuhkan kumpulan itu dan tangkapan beramai-ramai sebelum anggota turun merisik dan meronda dengan motosikal scrambler sebelum insiden tembak menembak berlaku,” katanya pada sidang media di Bukit Aman malam ini.
Dalam kejadian awal pagi itu Koperal Baharuddun Ramli meninggal dunia manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Fauziah, Kangar Perlis.
Sementara itu, Abdul Hamid mengesahkan enam suspek, kesemuanya warga Thailand, telah ditahan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara iaitu empat orang di Thailand dan baki dua suspek di kawasan belukar oleh anggota PGA dan VAT69.
Tambah beliau, empat suspek warga Thailand ditangkap polis negara itu selepas dimaklumkan Hospital Hatyai dan Songkhla bahawa tiga suspek dimasukkan ke hospitak itu kerana mengalami kecederaan di paha, leher dan lengan terkena tembakan anggota PGA.
“Di sebelah Malaysia VAT 69 dan anggota PGA memeriksa di kawasan sekitar pukul 7 pagi dan berjaya menemui dua lagi warga Thailand yang bersembunyi di belukar tebal lorong tikus kejadian itu sebelum mengaku salah seorang kumpulan yang melakukan serangan hari ini.
“Siasatan awal soal jawab ke atas kedua-dua suspek itu mengaku bahawa mereka memang bersama kumpulan itu yang terlibat menyeludup keluar ketum dan ubat batuk dengan guni besar menerusi bantuan tiga suspek Malaysia sebelum terserempak dengan kedua dua anggota PGA.
“Tiada unsur meragukan dalam kejadian ini apabila suspek yang ditahan mengakui kejadian spontan, bukan macam deal terancang, terkejut dengan kehadiran polis tanpa dijangka sebelum berlaku tembak menembak dan melarikan diri.
“Dua anggota PGA bersenjatakan pistol jenis P99 semasa kejadian manakala kumpulan penyeludup itu tidak pasti jenis senjata yang digunakan kerana kita masih menunggu laporan forensik yang diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed yang sedang menyiasat rapi di lokasi insiden untuk mengumpul bahan bukti,” ujarnya. – MalaysiaGazette