Home Politik Bila Anwar tarik diri calon PM, Wan Azizah pula u-turn

Bila Anwar tarik diri calon PM, Wan Azizah pula u-turn

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nampaknya terpaksa membuat pendirian berbeza selepas dikecam susulan mencalonkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu.

Wan Azizah  membuat pusingan-U apabila kini mengatakan sesiapa sahaja boleh menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan dan memberi alasan tumpuan sepatutnya diberikan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Kita mesti menang terlebih dahulu sebelum bercakap tentang perdana menteri. Sesiapa jua boleh menjadi perdana menteri, walaupun anda (wartawan) boleh jadi perdana menteri,” katanya yang dipetik berkata dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad yang berkata Anwar sebenarnya mahu pakatan itu menumpukan seluruh perhatian untuk menawan Putrajaya.

“Saya fikir sebab utama Anwar umumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri adalah supaya perbincangan (calon perdana menteri Pakatan Harapan) tidak perlu dibuat sekarang,” jelasnya.

Pada 12 Mei lalu dalam satu wawancara, Wan Azizah mengakui akan hanya menjadi pemimpin sementara untuk menunggu Anwar keluar daripada penjara dan kemudiaan memberi laluan untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Anwar dalam satu kenyataan dari penjara baru-baru ini menyatakan hasrat menarik diri daripada menjadi calon Perdana Menteri dan mahu keputusan itu dicapai secara konsensus oleh PH dan bukan satu-satu parti sahaja.

Kontroversi calon perdana menteri pembangkang bermula sejak 21 Mei lalu semasa Kongres Nasional PKR selepas pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mengangkat plakad menyokong Anwar menjadi pilihan perdana menteri PH pada PRU14.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang berkongsi pentas dengan pimpinan PH, tidak mengangkat plakad “Anwar PM ke-7” tetapi dilihat merakam suasana kongres dengan telefon bimbit.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga tidak mengangkat plakad, sementara pimpinan pembangkang lain, termasuk Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden PAN Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat plakad.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh sejak Februari 2015 atas kesalahan liwat.- MalaysiaGazette