Home Pendapat Yang masih ada wang di tangan, jimat-jimatlah

Yang masih ada wang di tangan, jimat-jimatlah

Suasana lengang di sebuah pusat beli-belah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2020

PANDEMIK Covid-19 nampaknya belum ada petanda mahu surut. Malah, kes baharu dicatatkan di seluruh dunia kian meningkat, lebih-lebih lagi di negara-negara Eropah yang mencatatkan berpuluh-puluh ribu kes dalam masa sehari. Di Malaysia, penularan wabak ini masih terkawal walaupun kes harian mencecah lebih seribu kes sehari. Bagi mengekang wabak ini menjadi lebih teruk, kerajaan telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal pergerakan masyarakat.

Sudah setahun nampaknya virus ini menghantui hidup penduduk dunia. Walaupun ketika ini ada ura-ura mengatakan vaksin sudah berjaya dicipta, namun keberkesanannya masih di tahap yang meragukan. Tiada siapa sangka, tahun 2020 yang sepatutnya menjadi tahun yang lebih baik dari segi ekonomi dan sosial tidak menjadi seperti yang diimpikan. Selagi vaksin yang berkesan belum ditemui, dan selagi virus ini belum ditemui penawarnya,
selama itulah kita sebagai umat manusia harus sentiasa berwaspada.

Pastikan kesihatan diri berada pada tahap yang baik, dan jangan dilupa poket juga harus dijaga. Janganlah terlalu boros berbelanja dan membeli apa yang perlu sahaja. Pandemik ini menyebabkan berjuta-juta orang dibuang kerja. Ada gaji yang terpaksa  dipotong, dihadkan waktu bekerja, tiada kerja lebih masa (overtime) dan ada juga syarikat terpaksa gulung tikar kerana tak mampu lagi menampung kerugian. Kepada mereka di luar sana yang masih mempunyai pekerjaan, pastikan mempunyai simpanan yang mencukupi atau sekurang-kurangnya mempunyai wang untuk tiga bulan yang mendatang.

Memang tidak salah jika mahu membeli apa yang dimahukan kerana duit yang ada adalah hasil titik peluh kita sendiri. Tapi, apa yang sungguh menggusarkan ketika ini ialah penularan virus Covid-19 yang nampaknya belum reda. Selagi virus ini belum reda, selagi itulah pintu sempadan negara ditutup, pergerakan sosial dan operasi perniagaan juga terpaksa dihadkan. Sekurang-kurangnya, kita perlu hidup dalam keadaan begini sehingga tahun hadapan.

Jika pintu sempadan terus ditutup, operasi perniagaan dihadkan, ini akan memberi kesan amat teruk terhadap sektor ekonomi. Kerajaan juga dalam dilema sama ada mahu menghidupkan semula sektor-sektor ekonomi atau melindungi masyarakat daripada dijangkiti virus. Jika sekatan-sekatan yang ada sekarang ini ditarik semula, dikhuatiri virus Covid-19 akan merebak dengan lebih cepat dan lebih ramai akan dijangkiti.

Pilihan yang ada pada masyarakat sekarang ini ialah mencari alternatif baru bagi menjana pendapatan untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga. Gunakanlah sebaiknya medium atas talian seperti menjual produk atau menawarkan apa-apa perkhidmatan yang boleh menjana pendapatan. Mengambil contoh seorang bekas juruterbang yang diberhentikan kerja telah bertukar kerjaya kepada seorang peniaga makanan yang dikenali ramai. Langkah berani bekas juruterbang itu wajar dipuji kerana kesungguhan dan kegigihannya mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.

Kepada mereka yang masih mempunyai wang di tangan, berjimat-jimatlah dan berbelanja di tahap yang paling minimum. Elakkan membeli perkara yang kurang penting dan sebaiknya
wang ada disimpan untuk kegunaan masa akan datang. Jadilah masyarakat yang berhemah berbelanja dan elakkan pembaziran.

Syahmi Minhad
Pembaca Malaysia Gazette