Home Seni Hidup Firdaus mahu ikut jejak Syahmi

Firdaus mahu ikut jejak Syahmi

Firdaus mengakui memiliki minat mendalam dalam dunia pengarahan videografi.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka filem sulung daripada pengarah muda dan Youtuber terkenal, Syahmi Sazli berjaya mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai.

Lebih hebat, filem Mael Totey itu memecah rekod tayangan tertinggi di Astro First apabila mengutip RM6.4 juta dalam tempoh 23 hari tayangan.

Berdasarkan fenomena dan kejayaan filem itu, Syahmi kini menjadi idola anak muda yang ingin mencontohi semangatnya yang bermula dengan minat mendalam tanpa memiliki latar belakang kemahiran tinggi dalam mengendalikan kamera dan video.

Salah seorangnya adalah anak muda, Ku Muhammad Firdaus Ku Zullkhairi.

Dia yang berusia 22 tahun sebelum ini merupakan pemain bola sepak profesional untuk kelab Kuala Lumpur bawah 21 tahun dan pelapis skuad Kedah.

Namun kecederaan yang menimpanya membuat dia memberi fokus kepada pengajian dan kini merupakan pelajar semester akhir Sarjana Muda Pendidikan Sukan Rekreasi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bagaimanapun minta dan cinta kepada bidang pengarahan videogradgi tidak pernah padam. Bagi dirinya, dunia lakonan, perfileman serta videografi menggunakan platform Youtube boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang bermanfaat kepada masyarakat.

Firdaus kini memiliki Firdaus Zulkhairi Production.

Bermula pertengahan tahun ini, Firdaus memberanikan diri menghasilkan video-video loghat di Malaysia khususnya loghat kedah dan video-video komedi bermesej untuk masyarakat apatah lagi dia anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu.

Antara kejayaan membanggakan buat Firdaus apabila video terbitannya bertajuk From Australia To Aloqsetaq mencecah 100,000 tontonan di Facebook dan memenangi Johan Pertandingan Video Pendek Kedah 2020.

“Bagi individu yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia Youtube, saya akui masih jauh untuk capai tahap gelaran ‘pakar’ atau video creator.

“Cuma ada beberapa perkara yang boleh dianggap sebagai kelebihan dan kekuatan buat produksi saya iaitu Firdaus Zulkhairi Production yang mendapat sokongan hebat daripada kawan-kawan.

“Walaupun ada kalangan mereka yang mungkin kurang meminati dan tidak pernah ceburi bidang lakonan, kawan-kawan tidak putus-putus untuk memberikan sokongan mereka terhadap produksi saya.

“Sokongan mereka inilah yang membuatkan Firdaus Zulkhairi Production dan saya sendiri untuk terus bersemangat dalam menghasilkan lagi video menarik pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Firdaus berharap dapat menempah nama di dalam dunia perfileman, lakonan dan videografi di negara ini.

Mengulas perancangan masa depannya, Firdaus ingin menghasilkan lebih banyak video yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga komited untuk memantapkan lagi kualiti produknya agar mendapat perhatian dari penaja-penaja atau syarikat besar di negara untuk berkolaborasi dengan produksinya.

“Besar harapan saya agar Firdaus Zulkhairi Production konsisten menghasilkan video-video di Youtube serta dapat menempah nama di dalam dunia perfileman, lakonan dan videografi agar dapat berdiri sebaris dengan produksi-produksi besar dan hebat lain.

“Seterusnya dapat menghasilkan filem tersendiri yang mampu untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya yang berharap dapat mengikuti jejak Syahmi pada masa akan datang.

Bagi yang ingin melihat hasil kerja video Firdaus, mereka boleh melayari Facebook: Firdaus Zullkhairi, Instagram: firdauszulkhairi atau https://www.youtube.com/c/FirdausZulkhairi. – MalaysiaGazette