Home Utama Seorang lagi anggota PGA ditembak di sempadan

Seorang lagi anggota PGA ditembak di sempadan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.- Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera di perut selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos M-15 sempadan Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan di Pos M16 sebelum terkena tembakan secara tiba-tiba.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

“Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan.

“Beliau (mangsa) kemudian melihat ada kelibat manusia di kawasan itu. Kita syak dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota berkenaan yang berusia 26 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kita akan siasat dan kenakan tindakan tegas terhadap individu yang melepaskan tembakan ke arah anggota penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan.- MalaysiaGazette