Home Nasional Umpama merpati bebas terbang selepas PKPD ditamatkan – Penduduk Medan 88

Umpama merpati bebas terbang selepas PKPD ditamatkan – Penduduk Medan 88

Setelah terperap selama dua minggu di rumah, beberapa penduduk Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi keluar daripada kediaman mereka untuk melihat anggota tentera menggulung kawat duri berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat di kawasan tersebut tengah malam tadi.

SEPANG – Setelah dua minggu terperap di rumah masing-masing penduduk Medah 88 di Bandar Baru Salat Tinggi menarik nafas panjang tengah malam tadi apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan.

Malah penduduk di kawasan tersebut keluar daripada kediaman masing-masing sebaik sahaja perintah tersebut ditamatkan untuk melihat anggota tentera menggulung kawat duri.

Azlina Adamil, 31, berkata, dia berasa dirinya merdeka selepas terkurung di kediaman sendiri sejak 12 November lalu berikutan penularan wabak Covid-19 di kawasan itu.

Beliau pernah terfikir untuk melarikan diri sebelum PKPD dilaksana kan di Medan 88 tetapi atas rasa tanggungjawab untuk mengekang virus tersebut daripada merebak dia melupakan niat itu.

“Sejak menjalani saringan pertama pada 13 November lalu menunjukkan negatif disusuli saringan kedua pada 23 November lalu juga keputusan negatif tetapi diwajibkan kuarantin 14 hari dengan gelang tangan.

Azlina Adamil, 31, penghuni Medan 88, Sepang.

“Saya gembira selepas kerajaan mengisytiharkan PKPD ditamatkan di Medan 88 ini, seolah mencapai kemerdekaan dan perasaannya umpama seekor merpati dibiarkan terbang bebas dari sangkar setelah dikurung lama,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu itu.

Azlina yang menetap di Medan 88 sejak tiga tahun berkata,  segala pergerakan terhad, ditambah kedai ditutup seawal 2 petang memeritkan lagi kehidupan harian mereka.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Malindo Air di bahagian kejuruteraan dihentikan kerja akibat pandemik Covid-19 terpaksa beralih arah dengan bekerja di sebuah premis pakaian di Mitsui Outlet Mall.

Kini Azlina buntu kerana majikannya enggan membayar gaji selama tidak bekerja ketika PKP dilaksanakan walaupun dia telah menunjukkan surat daripada Kementerian Kesihatan bahawa dia terlibat dengan perintah itu yang tidak membolehkannya untuk pergi bekerja.

“Bayangkan kenderaan baharu saya Perodua Mvvi ada tunggakan bayaran RM620 selama dua bulan dan perlu segera merujuk bank untuk melanjutkan moratorium yang disyorkan kerajaaan untuk mengurangkan beban golongan B40 seperti kami,” katanya kepada MalaysiaGazette awal pagi tadi sambil menambah dia tidak pulang untuk mengundi semasa Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan baru-baru ini.

Beliau bersama rakan serumahnya keluar rumah selepas PKPD ditamatkan di lokasi itu untuk melihat anggota tentera menggulung kawat duri yang dipasang di sekeliling Medan 88.

Azlina yang mengakui menghadapi cabaran menantinya untuk mengharungi kehidupan Azlina merancang untuk kembali bertugas pada Sabtu ini dan menambah: “Saya cuma doakan supaya segala permasalahan dapat ditangani dengan baik,”.-MalaysiaGazette