KUALA LUMPUR – Gelembung perjalanan domestik zon hijau yang bermula pada Ahad (22 November) berjaya merancakkan aktiviti lawatan di zon bebas COVID-19 dengan kelompok pelawat dikesan di beberapa destinasi yang lengang sebelum ini.
Walaupun ia tidak dapat dibandingkan dengan kemeriahan sebelum COVID-19, tetapi kemunculan pelawat tertentu membolehkan peniaga dan penjaja menarik nafas lega.
Walau bagaimanapun, sesetengah destinasi pelancongan di zon hijau masih lengang pada hari pertama pelaksanaan.
Sinchew Daily melaporkan, Bentong di Pahang merupakan antara pekan yang menerima pelancong pada Ahad dengan kawasan pasar dan kedai kopi menunjukkan kunjungan orang ramai.
Penjaja di Pasar Bentong berkata, ramai “orang asing” telah kelihatan di pekan itu dan kebanyakannya merupakan pelawat yang membawa kereta sendiri untuk melawat Bentong, membeli produk seperti halia Bentong serta menikmati juadah tempatan.
Menurut penjaja, berbanding Ahad minggu lalu, perniagaan mereka pada Ahad ini adalah jauh lebih baik.
Dalam pada itu, jalan-jalan bersejarah dan pusat membeli-belah di Melaka juga menunjukkan kehadiran pelancong.
Pasar kutu dan kawasan sekitar Jalan Hang Jebat juga menampakan kelibat pelancong.
Walau bagaimanapun, Johor yang banyak bergantung kepada pelawat Singapura tidak pula menampakkan kunjungan orang di destinasi pelancongan.
Walapun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mersing sudah ditamatkan, tetapi kelibat pelancong tidak kelihatan.
Sinchew Daily melaporkan, keadaaan itu berlaku kerana bukan musim durian, beberapa kemudahan pelancongan yang belum dibuka dan permulaan musim hujan yang menyebabkan orang ramai lebih gemar duduk di rumah.
Selain itu, destinasi hujung minggu di Kuantan, Pahang seperti Pantai Teluk Chempedak dan Zoo Mini Teruntum juga tidak menampakkan pelawat yang ramai. – MalaysiaGazette