COVID-19 sering diperkatakan lanjutan daripada diskusi sebagai salah satu agenda wacana golongan pendukung Freemason yang dikatakan memenuhi aspirasi Orde Baru Dunia.Oleh kerana kawalan pergerakan dan keberadaan di rumah, mutakhir kini terlihat kebergantungan manusia pada teknologi informasi khususnya media sosial yang membuatkan manusia menghabiskan hari dan usianya di skrin komputer atau telefon bimbit yang terlalu lama berlebihan dari 7 jam sehingga mengabaikan manusia sebenar yang berada di sekitar dan sekelilingnya. Manusia dilihat terpana dengan apa di alam maya dari apa yang di realiti.Mereka kelihatan lebih terpesona dengan apa yang mahu dilihat dan dibicarakan manusia lain di alam maya berbanding alam sebenar. Kesannya samada sedar atau tidak, kebejatan norma kehidupan alam maya ini akan mencetuskan kebobrokan dalam nilai-nilai insan. Menurut hemat dan pengamatan penulis, platform maya memberi ruang kepada segelintir manusia sama ada untuk berpura-pura atau menonjolkan kebenaran dirinya bertopengkan alam maya.
Alam maya bukanlah alam realiti, di mana manusia akan bersikap sama ada apa yang mahu dilihat dari dirinya yang sebenar atau berpura-pura. Perihal hati budi diri manusia yang sebenar sebagai rakan sebagai contohnya hanya lebih diketahui apabila membuat perjalanan sekali selama sekurang-kurangnya 3 hari perjalanan. Maka kita akan lebih kenal sebenar hati budi seseorang itu bagaimana. Ataupun perkenalan juga persahabatan yang memakan masa juga menempuhi cabaran juga rintangan bersama susah payah maka kita akan lebih kenal seseorang itu tentang siapa dirinya. Jadi apakah sebenarnya dirinya yang mahu ditonjolkan di alam maya juga media sosial? Haruslah diingatkan ramai manusia suka berpura-pura apabila dirasakan tidak mampu menjadi diri yang sebegitu di alam nyata. Maka alam maya adalah satu platform adalah yang baik kerana tidak perlu bersua muka atau suara. Jika bersua mungkin muka pun lain dari di gambar profail, atau lain apa dituturkan di bibir lain di hujung jari lain malah lain juga di hati.
Manusia yang jiwanya kosong, terkadang suka mencari keseronokan diri melalui alam maya yang merupakan satu ekpresi diri samada ke arah yang baik atau sebaliknya. Ada yang mencari keseronokan dengan media sosial dengan membuli, menghamburkan kata-kata kesat juga dengan sewenang-wenangnya, berbicara juga bergaya mengada-ngada melalui aplikasi Bigo, Twitter, Facebook, Youtube dan sebagainya. Setiap platform media sosial mempunyai unjuran tersendiri yang boleh membawa kebaikan bagi pencari kebaikan juga keburukan bagi pencari keburukan. Sebagai contoh ada yang suka mencari perhatian manusia yang lain, mencari ‘like’ terbanyak atau cukup sekadar kata-kata manis rakan sosial media yang boleh menimbulkan satu pembohongan emosi di alam maya.Jika ianya digunakan untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat bagi membantu insan lain atau menjana pendapatan maka ianya memberi banyak manfaat secara amnya. Janganlah mudah tertipu dengan alam maya bagi memenuhi kekosongan juga kesunyian di hati tetapi di masa yang sama meninggalkan nilai-nilai sebenar asas kemanusiaan.
Dalam diri manusia itu selain ciri fizikalnya juga terdapat elemen lain seperti emosi, spiritual, rohani juga intelek. Kebobrokan hasil dari penggunaan platform alam maya seperti media sosial yang berlebihan juga boleh membawa ketagihan. Akibatnya akan berlaku kurangnya nilai manusia akibat ketidakfahaman tentang prinsip maruah, perasaan malu juga harga diri.Ini bukan terhasil sebelah pihak malah dua belah pihak di mana pihak pendukung juga penyokong yang lagha (sia-sia) juga pelaku yang kesunyian juga mungkin kecelaruan mendambakan perhatian. Manakah datangnya logiknya sebagai contoh pengguna aplikasi Bigo dan seumpamanya dengan perlakuan yang sumbang yang hanya mempamerkan aksi berfoya-foya santai mempamerkan kekurangan harga diri, malu dan maruah dirinya lalu disokong dengan pemberian ‘like’ atau ‘love’ dan sebagainya?Ini semua adalah fenomena dunia akhir zaman bagi melalaikan manusia dari mengingati Tuhan yang cintakan dunia dan takutkan mati (wahn).
Terlalu banyak hiburan di alam maya ini bakal mematikan hati yang membentuk perilaku seseorang manusia. Akibatnya manusia akan kurang rasa empati dan simpati kepada manusia lain di alam sebenar,atau lebih buruk hilangnya komunikasi sebenar dan berkesan dengan insan lain.Inilah yang memburukkan lagi komunikasi dalam masyarakat pelbagai strata, lalu menjarakkan hubungan di dalam institusi masyarakat. Oleh kerana terlalu banyaknya kebejatan dalam isu-isu berlebihan dalam media sosial tersebut maka akan sampai masa di mana manusia tidak akan dapat membezakan yang mana benar dan yang mana benar kerana hampir semua manusia mendukunginya dan berfikiran sama dengannya. Lantaran dari ini ianya menimbulkan masalah sosial yang lain seperti kebobrokan dalam institusi keluarga. Seterusnya institusi kekeluargaan yang rosak kerana kurang komunikasi berkesan atau boleh berlaku buruknya komunikasi. Hasilnya masyarakat juga mengalami kecelaruan bahana permasalahan sosial sebegini.
Sikap keterbukaan media sosial juga menipiskan adat budaya bahasa juga nilai santun sesuatu bangsa jika tidak dikawal. Perbuatan malah perlakuan sumbang juga bahasa kurang sopan juga dipertontonkan di khalayak ramai tanpa segan silunya kini, apatah lagi memikirkan unsur dalaman seperti nilai moral , dosa dan pahala bagi manusia yang hidup beragama. Manusia menjadi berharap pengesahan dari manusia lain (social validation) untuk kelangsungan sosial hidupnya secara alam maya. Secara sedar atau tidak nilai kemanusiaan itu sudah terhakis sedikit demi sedikit begitu juga dengan orang di sekitarnya.
Nilai kemanusiaan itu tergantung pada kebijakan dia mengatasi emosi menggunakan intelek juga rohani untuk faedah insan lain selain dirinya sendiri.Jika hasilnya bukanlah sesuatu yang bermanfaat malah hiburan yang melekakan maka sedikit demi sedikit nilai kemanusiaan akan hilang tanpa disedari. Ini akan memburukkan lagi institusi keluarga atau perpecahan dalam masyarakat. Jika manusia berharap bantuan sebenar suatu hari nanti, adakah dia boleh berharap pada rakan alam maya atau insan sebenar di sekelilingnya selama ini? Fikir-fikirkanlah dan berpada-padalah.
Dr. Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan , Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia