Berikut adalah teks penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Dasar (Rang Undang-undang Perbekalan 2021) oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Datuk Yang di-Pertua,
1. Izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang UndangUndang Perbekalan 2021 yang amat penting ini.
2. Tidak kurang daripada 62 ahli Yang Berhormat telah mengambil bahagian untuk membahaskan isu-isu berkaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Kementerian Kewangan.
3. Penghargaan ikhlas juga daripada saya kepada semua yang telah memberi cadangan dan pandangan, syor dan rujukan, serta idea dan teguran. Hari ini saya akan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat susulan perbahasan yang telah berlangsung.
4. Pertamanya, izinkan saya menjawab satu soalan hakiki yang sering berbangkit:
“Apakah sebenarnya tujuan Belanjawan 2021 ini?”
5. Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza tentang belanjawan ini. Realitinya Belanjawan 2021 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara. It is a COVID-19 Budget – a budget for survival and resilience dengan izin. Terciptanya belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabaran-cabaran ekoran wabak COVID-19; bukan hanya ketika menghadapi gelombang ketiga ini, tetapi juga bersedia bagi pertumbuhan selepas mengatasi COVID-19 nanti, InsyaAllah. Melalui Belanjawan 2021, kita mahu membina ketahanan
atau resilience supaya rakyat dapat melangkah ke masa depan yang lebih cerah.
Datuk Yang Di-Pertua,
6. Dalam 2 minggu perbahasan RUU Perbekalan 2021 ini, jelas sekali ada beberapa isu yang mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat. Secara amnya, isuisu yang berkisar merentasi 3 kategori utama:
a. Pertama, bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan;
b. Kedua, bantuan kewangan langsung; dan
c. Ketiga, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
7. Dalam bahasa mudahnya, kerajaan faham rakyat inginkan wang di dalam poket untuk hidup, untuk ‘survive’; untuk perbelanjaan keluarga dan anak-anak; membantu dengan hutang dan kos hidup; serta peluang kerja supaya mereka dapat menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih bermaruah. Bukankah ini yang kita semua mahukan?
8. Sehubungan itu, saya akan menstrukturkan penggulungan seperti berikut:
a. Saya akan bermula dengan menjawab soalan berdasarkan tiga perkara di atas yang merangkumi isu moratorium, KWSP, bantuan langsung serta isu pekerjaan dan PKS;
b. Kemudian, saya akan mengulas megenai ekonomi dan unjuran
pertumbuhan;
c. InsyaAllah, saya akan mengakhiri penggulungan dengan mengulas peruntukan berkaitan kesihatan.
9. Berbalik kepada isu survival rakyat, saya tidak mahu berdolak-dalik dan berpusing-pusing. Maka, marilah kita berbicara tentang isu moratorium dan KWSP.
MEMUDAHKAN ALIRAN TUNAI RAKYAT: MORATORIUM: PUKAL ATAU BERSASAR?
Datuk Yang Di-Pertua,
10. Tidak kurang daripada 36 ahli Yang Berhormat telah membangkitkan soalansoalan berkaitan moratorium. Isu-isu utamanya adalah samada moratorium wajar dibuat secara pukal atau bersasar?
11. YB Pekan, Pontian, Port Dickson, Bagan Datuk, Arau, Kota Melaka, Pasir Gudang, Pasir Salak, Jerlun, dan Labuan telah mencadangkan agar Kerajaan melanjutkan moratorium selama 6 bulan secara pukal.
12. Pertamanya, saya menegaskan bahawa moratorium pinjaman bank bukan hanya untuk sebilangan kecil rakyat. Moratorium ini tersedia untuk semua rakyat Malaysia yang terkesan – tidak kira samada daripada golongan B40, M40 atau T20 — semuanya layak mendapat bantuan dalam bentuk penangguhan, pengurangan atau penjadualan semula pinjaman.
13. Golongan B40 mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Golongan peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Golongan M40 pula hanya perlu buat self-declaration atau pengisytiharan sendiri tanpa
perlu dokumen dan sebagainya. Bagi rakyat yang tidak tergolong dalam segmen-segmen di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing.
14. Prinsip utama di sini adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah adil mereka yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium? Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem
perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman — khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat? Inilah antara sebabnya mereka yang mampu, wajar membayar balik pinjaman mereka.
15. Ahli-ahli Yang Berhormat, sehubungan dengan Pakej PRIHATIN, Malaysia menjadi negara pertama di dunia di mana institusi perbankannya telah memberikan moratorium automatik kepada semua peminjam bank. Nilai yang dianggarkan adalah hampir RM100 bilion untuk 6 bulan.
16. Setelah tamatnya moratorium automatik, Bank Negara Malaysia bersama institusi perbankan telah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober 2020. Lebih 700,000 permohonan telah diterima, dan daripada jumlah itu, 98% peminjam telah menerima bantuan
moratorium.
17. Dalam Belanjawan 2021 pula, bantuan ini ditambahbaik lagi sekali buat golongan B40, PKS Mikro dan M40 yang terkesan seperti yang sebut tadi. Ini selaras dengan saranan YB Pekan, Bagan Datuk, Pontian, Kota Melaka, Pasir Gudang, Semporna, Jelebu, Parit, Jempol dan Kuala Kedah agar sokongan diberikan kepada golongan-golongan ini.
18. Ahli Yang Berhormat, menurut Bank Negara, pada bulan Oktober, sekitar 85% peminjam bank telah menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka. Namun, Kerajaan sedar masih ada kebimbangan membiayai hutang disebabkan penularan wabak COVID-19. Oleh itu, bergerak ke hadapan, Kerajaan
memberi komitmen akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan. Bersama-sama, kami akan memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.
19. Ahli yang berhormat, sehubungan dengan ulasan saya ini, saya berharap isu pelanjutan moratorium mendapat sokongan semua.
MEMUDAHKAN ALIRAN TUNAI RAKYAT: KWSP – PENGELUARAN AKAUN 1
Datuk Yang Di-Pertua,
20. Izinkan saya meneruskan penggulungan dengan isu hangat yang kedua – KWSP. Isu ini telah diulas dengan mendalam di dalam Dewan ini oleh tidak kurang daripada 15 ahli Yang Berhormat.
21. Di sini, ingin saya tegaskan satu hakikat: KWSP telah ditubuhkan pada tahun 1951 untuk simpanan persaraan ahli-ahlinya. Justeru, majoriti caruman akan dilaburkan di dalam instrumen pelaburan jangka panjang, dan bukan dalam bentuk tunai. Oleh sebab itu, setiap pengeluaran luar jangka yang sebegini memerlukan perincian dan pertimbangan yang rapi.
22. Segala isu berkaitan Akaun 1 KWSP berbalik kepada mencari satu titik keseimbangan di antara dua ekstrem untuk rakyat. Dengan izin, ‘this is about finding the right balance between fulfilling two different needs of the members.’ Yang pertama, pengeluaran untuk kelangsungan hidup hari ini dan kedua,
menjamin kesejahteraan persaraan masa depan.
23. Ramai yang mahukan pengeluaran berjumlah besar secara one-off. Saya telah mendengar suara ahli-ahli YB, terutamanya YB Pekan dan Bagan Datuk, yang memperjuangkan agar keperluan hari ini didahulukan. Saya juga dengar suarasuara rakyat di media sosial yang menyatakan kesusahan hidup mereka dan ingin mengeluarkan wang KWSP mereka. Tetapi, media juga ada melaporkan bahawa ramai ahli yang gusar dividen dan pertumbuhan dana KWSP mereka akan terjejas disebabkan oleh pengeluaran besar-besaran oleh ahli-ahli lain.
24. Namun, pada bulan Mac tahun ini, disebabkan oleh keadaan yang luarbiasa, Kerajaan inilah yang pertama sekali membenarkan pengeluaran dari Akaun 2 KWSP. Melalui program i-Lestari, seramai 4.7 juta rakyat dibenar mengeluarkan simpanan Akaun 2 sehingga 6 ribu ringgit. Sewaktu itu, mungkin Ahli Yang
Berhormat sudah lupa tetapi Kerajaan dikritik keras kerana mengadakan inisiatif ini.
25. Saya nyatakan perkara ini untuk menegaskan bahawa Kerajaan responsif dan akan bertindak jika langkah itu wajar demi kebaikan rakyat, tanpa mengabaikan tanggungjawab lain.
26. Pada 6 November, program i-Sinar diperkenalkan, di mana KWSP telah membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan sehingga 6 ribu ringgit dari Akaun 1. Ini kemudiannya ditambahbaik apabila KWSP mengumumkan skop kelayakan diperluas kepada 2 juta ahli yang aktif yang kini boleh mengeluarkan sehingga 9 ribu ringgit, atau 60 ribu ringgit dari Akaun 1, bergantung kepada terma kelayakan. Namun, Kerajaan terus peka kepada rungutan ahli dan cetusan pendapat dari ahli-ahli Yang Berhormat sendiri tentang syarat-syarat yang terlalu ketat, contohnya ahli yang sudah berhenti mencarum beberapa tahun tetapi masih mempunyai simpanan, namun tidak layak untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1. Ada pula ahli yang tidak hilang pekerjaan tetapi gaji, elaun atau overtime telah dipotong dengan ketara hingga menjejas kemampuan mereka menampung perbelanjaan diri dan keluarga – mereka juga merungut kerana
tidak layak memohon. Kerajaan mendengar semua ini.
27. Seperti yang saya sebut, setiap langkah melibatkan pengeluaran KWSP perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana amanah yang dipikul adalah untuk semua ahli, baik mereka yang mahu mengeluarkan dan juga bagi ahli yang
tidak mahu. Akhirnya, adalah tanggungjawab Kerajaan untuk mencari titik keseimbangan di antara keperluan pengeluaran hari ini dan keselamatan persaraan untuk hari esok.
28. Justeru, setelah saya berbincang lanjut dengan pengurusan KWSP pagi tadi, sukacita diumumkan bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada SEMUA ahli yang terjejas pendapatan mereka. Tidak kira samada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka
tahun ini — ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1. Tanpa mengira samada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak — selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP. Dari 2 juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih 8 juta ahli. Tambahan pula, setiap ahli yang sebelum ini dibenarkan mengeluarkan sehingga 9 ribu ringgit, kini boleh mengeluarkan sehingga 10 ribu ringgit. Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di manamana pejabat KWSP. Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan,
notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri.
PENAMBAHBAIKAN BANTUAN
Datuk Yang Di-Pertua,
29. Mendokong semangat Kerajaan Prihatin Rakyat, kita sentiasa meneliti rapat perbahasan dalam Dewan ini di mana ahli Yang Berhormat semua merupakan denyut nadi suara akar umbi. Sehubungan dengan ini, saya ingin berkongsi beberapa pengumuman dan berita baik, yang sekaligus menjawab beberapa soalan yang telah berbangkit ketika sesi perbahasan.
30. Pertama adalah berkaitan Bantuan Khas Kewangan Petugas Barisan Hadapan. Dato’ Yang Di-Pertua, walaupun penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan, petugas barisan hadapan kita tetap kental memberikan perkhidmatan dengan penuh jitu demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Melalui ucapan Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan bantuan khas one-off kepada petugas barisan hadapan kesihatan sebanyak RM500 ringgit.
31. Sepanjang perbahasan, saya telah mendengar cadangan daripada ahli-ahli parlimen seperti YB Pontian, Hulu Rajang, Ipoh Barat, Lembah Pantai dan Jelutong mengenai perlunya mempertimbangkan bantuan khas untuk barisan hadapan yang lain yang turut bertugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.
Justeru, ingin saya umumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk
memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.
32. Kedua, Kerajaan telah mencadangkan Program eBelia sebanyak RM50 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia. YB Menteri Pengajian Tinggi juga berpandangan agar keperluan pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi diteliti oleh Kementerian Kewangan. Oleh itu, mengambil kira permintaan daripada Ahli Parlimen seperti YB Pontian, YB Pasir Mas, YB Arau, dan YB Muar untuk membantu mahasiswa di IPT dan IPTS dalam konteks norma baharu, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik program eBelia
seperti berikut:
a. Pertama: meningkatkan jumlah eBelia daripada RM50 ringgit kepada RM100; dan
b. Kedua: memanjangkan inisiatif kepada 1.1 juta mahasiswa di IPT dan IPTS termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.
33. Ketiga, ramai ahli Yang Berhormat termasuk YB Serian, YB Bukit Mertajam, dan YB Kota Kinabalu telah menyarankan supaya ditambah peruntukan kepada Kerajaan Negeri, terutamanya Sabah bagi membantu usaha menangani wabak COVID-19. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Kewangan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 Oktober lalu, telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah khusus untuk memerangi Pandemik COVID-19. Selain itu, peruntukan RM44 juta juga telah digunakan oleh Kementerian Kesihatan dalam membendung gelombang wabak COVID-19 di Sabah. Pada hari ini, sebagai langkah susulan memerangi COVID-19 di Negeri Sabah, sukacita diumumkan
bahawa Kementerian Kewangan akan menyalurkan dana tambahan berjumlah RM50 juta lagi menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 (KWC) untuk Negeri Sabah pada bulan Disember 2020.
34. Keempat, semasa sesi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November yang lepas, saya telah mengumumkan inisiatif pemberian one-off sebanyak RM500 kepada 40 ribu Pesara Polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN). Namun begitu, setelah mengambil kira cadangan oleh Persatuan Bekas
Polis Malaysia, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluaskan lagi kategori penerima pemberian one-off tersebut kepada kategori Pesara dan Bekas Polis dengan implikasi penerima tambahan adalah dianggarkan seramai 40 ribu orang lagi. Ini menjadikan jumlah penerima pemberian one-off ini seramai 80 ribu orang dengan anggaran
implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.
35. Ahli Yang Berhormat, Sektor Pertanian merupakan penyumbang asas kepada pembentukan ekonomi Malaysia dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat kepada rakyat. Sektor pertanian tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan malah sentiasa menjadi agenda utama dalam memastikan pengusaha-pengusaha yang terlibat dapat meningkatkan taraf
hidup dan membantu menambah pendapatan. Sehubungan itu, seperti yang dicadangkan oleh YB Baling untuk menyediakan dana bantuan khas pesawah yang dilanda banjir, Kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian. Bantuan khas ini dapat memanfaatkan petani yang terdiri dari pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil tanaman kesan dari bencana alam.
36. Nelayan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pembangunan dan ekonomi industri perikanan selain membantu bekalan makanan negara sentiasa mencukupi. YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan yang memanfaatkan lebih daripada 40,000 nelayan. Seperti
yang dibangkitkan oleh YB Sik, kenaikan tersebut wajar dipanjangkan kepada nelayan darat. Dengan itu, Kerajaan juga mencadangkan kenaikan kepada kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.
37. Ketujuh, Kerajaan prihatin kepada nasib pekebun kecil getah yang terjejas daripada naik turun harga komoditi getah dan bencana alam. Seperti yang dipohon oleh YB Baling, saya ingin mengesahkan bahawa Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) akan diteruskan. Bayaran sebanyak RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021,
kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). BMT bakal memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun getah dan penoreh getah dan Kerajaan komited untuk meneruskannya pada tahun 2021.
38. Kelapan, Kerajaan maklum bahawa kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau Semenanjung. Kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April 2002. Kementerian Kewangan bersetuju untuk mengkaji semula dan
menyelaras kadar tersebut.
39. Kesembilan, Kerajaan menggalakkan pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang menikmati penangguhan atau moratorium bayaran balik pinjaman selama 6 bulan untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan bebanan sewa premis perniagaan yang ditanggung oleh golongan PKS yang menyewa.
Ramai YB-YB yang raise this issue dengan izin. Melalui Pakej Rangsangan PENJANA, pemilik premis perniagaan/pemberi sewa atau landlord yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada PKS, akan diberi potongan cukai khas tetapi ini telah berakhir pada September 2020. Potongan ini tertakluk kepada syarat
pengurangan sewa hendaklah sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan bahawa potongan cukai khas bagi pengurangan sewa premis kepada PKS dilanjutkan 6 bulan lagi sehingga Mac 2021 bagi membantu PKS yang terkesan akibat lanjutan PKPB.
40. Saya berharap pengumuman dan komitmen tambahan ini terus mengukuhkan Belanjawan 2021 sebagai Belanjawan untuk Rakyat. Yang Berhormat sekalian, ini semua bukan cadangan saya. Ini semua cadangan-cadangan Yang Berhormat. Ini semua suara Rakyat yang kami dengar melalui pelbagai saluran.
41. Kami mungkin tidak sempurna tetapi kami mendengar. Dalam 8 bulan ini sahaja, sudah 4 Pakej Prihatin diumumkan dengan mendengar suara rakyat dan Ahli Yang Berhormat sekalian. Dan untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan terus mendengar, kami akan terus memperhalusi bantuan kerajaan mengikut
keadaan COVID dan ekonomi semasa, InsyaAllah.
BANTUAN KEWANGAN LANGSUNG
Datuk Yang Di-Pertua,
42. Walaupun isu moratorium dan KWSP ini mendominasi perbahasan belanjawan, saya pohon agar kita melihat Belanjawan dan pendekatan bertemakan survival ini secara keseluruhan. Dalam erti kata lain, kita mesti melihat dua perkara lain
yang telah saya sebut di awal penggulungan saya iaitu bantuan langsung dan pekerjaan. Tambahan lagi, kedua-dua perkara ini terkandung dalam Belanjawan.
43. Berkenaan perkara kedua iaitu bantuan langsung, antara YB-YB yang bertanya soalan berkaitan termasuk YB Serian, YB Pekan, YB Semporna, dan YB Langkawi berkenaan Bantuan Prihatin Rakyat, YB Arau dan YB Sipitang yang bertanyaan mengenai bantuan untuk golongan M40, YB Permatang Pauh yang
bertanya tentang kaedah pemberian bantuan, YB Lanang mengenai bantuan kepada golongan ibu tunggal, dan YB Kangar, mengenai pengurangan subsidi.
44. Sebelum saya menjawab soalan-soalan ini secara spesifik, saya ingin terangkan objektif kerajaan melalui pendekatan ini: Pertamanya, ia adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat yang mendapat bantuan kewangan terus.
Keduanya, ia memastikan rakyat yang sudah mendapat bantuan kewangan, menerima bantuan yang lebih banyak. Yang ketiga, ia memberi perhatian khusus kepada golongan rentan. Yang saya maksudkan dengan golongan rentan ini adalah ‘the most vulnerable segments of our society’ dengan izin. Ini merupakan
objektif penting melalui pemberian bantuan langsung.
45. Dalam 8 bulan sahaja, Kerajaan ini telah berjanji dan menunaikan janji dengan menyalurkan lebih RM21 bilion kepada lebih 10 juta penerima individu dan isi rumah setakat ini melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Pada tahun 2020, menerusi BSH dan BPN sahaja, ada isi rumah yang mendapat bantuan melebihi RM3,400 – ini belum
mengambil kira bantuan-bantuan lain.
PENUTUP
Datuk Yang Di-Pertua,
46. Kebijaksanaan pepatah lama menyatakan: “Tiada buluh, yang tidak berbuku.” Maka, sama juga, tiada belanjawan yang 100% sempurna. Tetapi yakinlah, Belanjawan ini adalah natijah terbaik Kerajaan setelah mempertimbangkan lebih 6,600 cadangan yang lahir dari lebih 40 sesi libat urus—merentasi setiap negeri—dari Utara ke Selatan, Barat ke Timur dengan lebih 100 pihak
berkepentingan dari seluruh negara; mewakili segenap lapisan rakyat dan sektor ekonomi utama.
47. Lebih 6,600 cadangan telah Kerajaan pertimbangkan, termasuk juga cadangancadangan yang dibuat pihak Pembangkang. Belanjawan ini mengandungi lebih 44 langkah strategik, lebih 186 inisiatif utama untuk kebajikan rakyat dan
membina daya tahan ekonomi– supaya kita dapat mengatasi musibah besar yang melanda negara hari ini.
48. Apakah munasabah kerana perbezaan beberapa perkara, maka lebih 186 langkah dan bantuan besar demi rakyat dan negara ditolak mentah-mentah? Apakah ini adil? Apakah ini wajar? Apakah ini memberi harapan kepada rakyat
yang meruntunkan bantuan?
49. Jangan kita masih leka membilang-bilang bintang di langit, tapi buta pada kilauan intan segenggam yang ada di tangan—permata yang sedia untuk dihadiahkan kepada rakyat tercinta. Sebagai seorang Muslim, saya bersandarkan kepada
kitab suci Al-Quran. Dalam Surah Al-Qasas ayat 84, Allah SWT telah berfirman membawa maksud: “Sesiapa yang datang membawa amal baik—maka baginya—balasan yang lebih baik daripadanya…” Maka, berbuatlah kita kebaikan.
50. Di dalam Dewan Rakyat ini, walaupun kita datang dari pelbagai latarbelakang dan kepercayaan namun, saya yakin, kita semua dibesarkan atas nilai yang sama—iaitu kita percaya pada berbuat kebaikan dan bukannya membawa kerosakan di muka bumi ini.
Datuk Yang Di-Pertua dan Yang Berhormat Semua,
51. Sebelum saya mengundur diri, ingin saya mengajak ahli-ahli dewan ini untuk renungkan bersama. Betapa hari ini, kita kini berada di satu persimpangan yang genting, yang crucial, tersorong seadanya ke pentas sejarah. Di atas pentas ini
kita sedang disaksikan rakyat Malaysia, juga tertampak pada kacamata dunia di luar sana—pengamat politik dan penganalisa pelaburan yang teliti memerhati: “apakah keputusan yang akan dibuat ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia pada detik ini?”
52. Saya katakan di sini, dari hasil tangan Kerajaan adalah Belanjawan Negara 2021 yang dirangka dengan penuh berhati-hati dan rapi. Di tangan ahli-ahli Dewan pula diberi satu kunci yang boleh menzahirkan segala manfaat yang termaktub
di dalam Belanjawan ini.
53. Sementara itu, di luar sana, adalah pemilik sebenar Belanjawan ini—iaitu jutaan rakyat kita yang saban hari menunggu, resah menanti bilakah Belanjawan ini
akan diturunkan kepada mereka.
54. Maka, pada petang ini, saya mohon kepada ahli-ahli dewan—JADIKANLAH perkhabaran dari Parlimen petang ini…satu perkhabaran yang penuh dengan kebaikan dan berita yang mengembirakan buat semua lapisan rakyat seluruh
negara.
55. Pada petang ini, JADIKANLAH, Dewan ini sebagai saksi, bahawa kita semua dapat berdamai walaupun seketika, berjabat tangan demi melindungi masa depan rakyat dan negara.
56. JADIKANLAH Dewan Mulia ini bergema-gema dengan suara kita, sehati senada memberi sokongan padu menjadikan Belanjawan ini satu kenyataan, satu kebenaran, satu realiti.
57. JADIKANLAH, Dewan ini tanda perjuangan kita bersama untuk membina semula ekonomi negara, jangan kita sekali-kali terhenti di tengah jalan, membujur lalu melintang patah, kita tidak akan berhenti selagi ekonomi belum pulih seperti sedia kala.
58. Dengan ini saya dengan rendah hati dan penuh tawadduk selaku Menteri Kewangan Malaysia menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk sebulat suara meluluskan Belanjawan 2021 ini.
59. Sekian, wabbillahitaufiq walhidayah, assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih. – MalaysiaGazette
Jom bina semula ekonomi negara yang telah dirosakan oleh Pakatan Hancing semasa 22 bulan berkuasa?
Disaat sukar ianya amat berat tetapi bukanlah suatu yang mustahil!