KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengharumkan negara di mata dunia apabila menduduki tempat ke-108 dalam QS Asia University Ranking 2021.
Naib Canselornya, Prof. Emiritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, kedudukan institusi tersebut dalam kedudukan itu naik 11 tangga yang mana sebelum ini berada pada kedudukan 119 pada tahun lalu.
“Pencapaian yang diumumkan QS Asia University Ranking 2021 pada hari ini menunjukkan peningkatan lima tahun berturut-turut sebanyak 73 tangga dari kedudukan 187 pada tahun 2017.
“Prestasi tahun ini juga telah menempatkan UiTM pada kedudukan 17 peratus terbaik Asia dengan pertambahan sebanyak 93 universiti yang dinilai di seluruh Asia serta pertambahan sebanyak enam universiti dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, QS Asia University Ranking menilai universiti berdasarkan 11 petunjuk utama yang antaranya adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penerbitan, nisbah pelajar kepada staf akademik, dan jaringan penyelidikan antarabangsa.
“Pencapaian UiTM ini sudah tentu menjadi kebanggaan seluruh warga universiti yang telah banyak memberikan sokongan dan kerjasama bersepadu melalui pelbagai inisiatif yang agresif dan konstruktif.
“Bagi memastikan keberhasilan kecemerlangan yang berterusan, UiTM telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif untuk memastikan petunjuk-petunjuk yang berkaitan tidak terkesan dengan situasi pandemik semasa,” katanya.
Tambahnya lagi, UiTM juga telah melaksanakan inisiatif jaringan antarabangsa melalui penganjuran pelbagai acara dan program secara dalam talian serta menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh badan antarabangsa. – MalaysiaGazette