Baru-baru ini Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan semua warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan dan dimudahkan berniaga kecil-kecilan di mana sahaja dalam Wilayah Persekutuan selama lima bulan bermula 15 November 2020.
Ia tertakluk kepada satu garis panduan yang akan dikeluarkan kemudian dan dengan syarat mereka yang ingin berniaga mestilah seorang warganegara Malaysia.
Saya menyambut baik niat murni kementerian dan Menteri untuk membantu rakyat di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan untuk meneruskan kelangsungan hidup di kala kita sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tidak dinafikan ramai warga Wilayah terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia pada waktu ini.
Namun pengumuman tanpa memberikan maklumat dan garis panduan yang lengkap adalah seperti masakan yang separuh masak.
Ideanya sudah bagus. Sekali lagi saya hargai niat murni kementerian dan Menteri, namun dengan membuat pengumuman sebegini, ramai yang menganggap mereka boleh membuka gerai, memacak payung di mana sahaja, walaupun di dalam pengumuman itu telah dinyatakan beberapa kriteria seperti tidak menganggu lalu lintas, tiada kacau ganggu dan peniaga perlu memastikan kebersihan.
Saya tinggal di kawasan Gombak yang berhampiran dengan Danau Kota dan beberapa lagi tempat yang menjadi hot spot para peniaga kecil.
Semenjak pengumuman kementerian dan Menteri, saya lihat gerai-gerai kecil tepi jalan saban hari semakin bertambah.
Apa yang merungsingkan saya ialah pertamanya adakah peniaga-peniaga ini telah mendapatkan suntikan tipoid yang dahulu adalah menjadi salah satu kriteria di dalam permohonan untuk mendapatkan lesen berniaga makanan.
Keduanya ialah melihat keadaan mereka yang berniaga dengan keadaan gerai yang rapat dan sesak – ia seakan-akan di pasar malam dan ada di kalangan peniaga yang tidak mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, ia mungkin akan menjadi sebab penularan kes COVID-19 dan membentuk satu kluster.
Saya lihat tidak ramai penguatkuasa turun meninjau keadaan peniaga-peniaga ini.
Ya, mungkin kerana pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga tidak mempunyai maklumat mengenai hal ini, kerana saya pasti mereka yang berniaga ini tidak memaklumkan kepada pihak DBKL mengenai perniagaan mereka, walaupun dinyatakan dalam pengumuman tersebut mereka harus memaklumkan pihak DBKL terlebih dahulu.
Kegusaran saya yang seterusnya ialah apa akan terjadi selepas tempoh lima bulan nanti dan selepas tamat PKPB? Adakah DBKL dan kementerian akan menguatkuasakan semula prosedur dan undang-undang sebelum ini?
Mampukah DBKL dan kementerian berbuat sedemikian setelah keadaan ini kelihatanya sudah berada di luar kawalan.
Saya mohon pihak DBKL dan kementerian mengkaji semula kelonggaran ini dan segera mengeluarkan garis panduan yang jelas.
Saya juga mohon pihak DBKL khususnya agar melakukan rondaan di kawasan-kawasan hot spot ini dan melakukan tugas penguatkuasaan. Kita pasti tidak mahu wujud kluster peniaga kecil tepi jalan, bukan?
Kelonggaran yang diberikan sememangnya harus dipuji kerana ia melibatkan kelangsungan rakyat wilayah yang kini semakin tersepit.
Namun kementerian dan menteri harus juga berfikiran panjang, membuat pertimbangan yang munasabah dan mempunyai garis panduan yang jelas dan lengkap mengenai hal ini. Janganlah buat pengumuman dahulu tanpa ada panduan dan perancangan yang teliti.
Kerana jika berlakunya penularan COVID-19 di tempat sebegini, ramai yang akan menjadi mangsa dan pastinya ia akan menjadi kluster besar. Jadi saya memohon agar pihak kementerian, Menteri dan DBKL segera mengambil tindakan yang sewajarnya demi kelestarian dan kebaikan semua warga Wilayah.
Oleh,
Noorsuhana Ishak
Pembaca Malaysia Gazette