PUTRAJAYA – Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghapuskan sistem kontrak kepada pekerja-pekerja di sekolah yang dilihat tidak memberikan manfaat.
Setiausahanya, Sivaranjani a/p Manikam mendakwa sistem kontrak yang digunakan selepas tahun 1996 itu telah menyebabkan pembaziran dan mencetuskan pelbagai masalah termasuk menjadikan pekerja-pekerja kontrak sebagai mangsa.
Jelasnya, hasil kajian yang dibuat oleh JPKK menunjukkan bahawa kerajaan boleh menjimatkan RM200 juta sekiranya mengambil langkah penghapusan sistem kontrak di sekolah-sekolah.
“Pekerja-pekerja kontrak yang kita maksudkan di sini adalah pekerja kebersihan, pengawal keselamatan dan pekebun di sekolah yang sekarang mereka bekerja di bawah sistem kontrak.
“Maksudnya walaupun mereka kerja di premis sekolah tapi mereka dibayar gaji oleh satu syarikat swasta, semua perkhidmatan ini sudah diswastakan. Selepas diswastakan kontraktor beri banyak masalah kepada pekerja sebenarnya,” katanya.
Menurut Sivaranjani, antara masalah utama yang sering berlaku akibat sistem kontrak bagi pekerja-pekerja B40 di sekolah adalah pihak kontraktor tidak membuat caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tiga tahun sekali bila kontraktor tukar ada pekerja yang hilang pekerjaan,”tambahnya.
Justeru JPKK menuntut agar pekerja-pekerja seperti pembersih sekolah dan pekebun diserap terus oleh sekolah dan dibayar gaji secara langsung daripada kerajaan selain menghapuskan kontraktor dan orang tengah.
Tuntutan demikian dibuat menerusi memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Memorandum tersebut diterima Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan iaitu Azziyadi Ismail di lobi KPM.
Dalam pada itu Sivaranjani berharap agar KPM mengambil langkah proaktif untuk membuat perubahan terhadap polisi pekerja di sekolah-sekolah ini.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memberi input kepada KPM berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette