KUALA LUMPUR – Setelah beberapa ketika tidak muncul dengan buah tangan terbaru, kumpulan Sakura Band yang satu ketika dahulu popular dengan lagu Polaroid, Pelarian dan Melepaskanmu, kini mereka kembali dengan sebuah lagi karya untuk mengubati hati peminat mereka.
Dianggotai oleh Melly Matius (Mell) Ali, Haniff dan Akai, kali ini mereka mempertaruhkan lagu Monopoli selepas agak lama berehat.
Lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh ahli-ahli kumpulan Sakura Band sendiri ini, mendapat sentuhan Taja selaku penerbit.
Menurut Sakura Band, Monopoli menceritakan tentang perasaan seseorang individu yang mencurahkan sepenuh hidupnya ke atas perkara atau orang yang disayangi. Dalam penulisan Sakura Band, ia lebih menjurus kepada dedikasi dan komitmen dalam muzik serta persahabatan mereka yang telah mencapai usia lapan tahun bersama.
Perasaan itu sentiasa ‘memonopoli’ atau menakluk diri mereka dan membuatkan Sakura Band terus berkarya dan menghasilkan muzik. Dalam erti kata lain,ia adalah sebahagian dari hidup Sakura Band sendiri.
Lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik istimewa yang cuba menggambarkan perjalanan dan detik-detik indah kumpulan ini sepanjang lapan tahun bersahabat dan berkarya bersama.
“Oleh kerana video muzik ini seolah-olah mengimbas kembali perjalanan kumpulan kami, terdapat beberapa babak yang boleh dianggap penuh emosi buat kami sendiri saat menonton dan merakamnya.
“Kami harap para peminat bukan sahaja dapat menerima dan menyukai lagu ini tetapi juga dapat merasai apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu dan cerita dalam klip video ini,” jelas Mell selaku vokalis dan satu-satunya ahli kumpulan wanita dalam empat sekawan ini.
Monopoli edaran Universal Music Malaysia boleh dimainkan dan didengari di semua platform digital termasuk video muziknya yang ditonton bermula hari ini. – MalaysiaGazette