KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dituduh penagih dadah, seorang lelaki mengugut untuk memotong dan mencederakan bapanya sendiri dengan parang.
Bagaimanapun, tindakan lelaki yang berusia 20 tahun itu di kediamannya di Gombak dekat sini memakan diri apabila dicekup polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10 malam semalam melibatkan mangsa seorang warga emas berusia 60 tahun.
“Mangsa lelaki warga emas itu balik ke rumah jam 10 malam dan setiba di rumahnya, anak lelakinya memarahinya.
“Siasatan mendapati, saspek tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya yang didakwa memaklumkan kepada kawannya yang dirinya (suspek) menghisap dadah dan sering meminta wang.
“Saspek kemudian didakwa mengambil parang dan mengugut akan memotong bapanya (mangsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat takut dan panik dengan tindakan anak kandungnya yang mengancam nyawa, warga emas itu bergegas ke Balai Polis Rawang sebelum melaporkan apa yang berlaku.
Bertindak atas laporan mangsa, katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak telah pergi ke kediaman mangsa di Taman Bukit Rawang jaya pada 2.15 petang hari ini.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan di rumah mangsa, polis berjaya menahan suspek iaitu anak mangsa itu. Polis turut merampas sebilah parang berhulu hitam yang disyaki digunakan saspek untuk mengugut mencederakan mangsa (bapanya).
“Ujian air kencing ke atas saspek menunjukkan keputusan negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan ditahan reman selama empat hari sehingga 30 November ini untuk membantu siasatan lanjut,” tegas beliau. – MalaysiaGazette