SERI KEMBANGAN – Seramai lapan lelaki tempatan bersama 11 GRO Vietnam ditahan ketika sedang bersembunyi di bawah tangga di sebuah premis spa terbiar yang dijadikan sarang rahsia untuk parti persendirian dan kegiatan tidak bermoral.
Mereka ditahan polis dalam Operasi Op Noda yang berakhir 2.30 pagi tadi, yang dilancarkan oleh Ibu Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Pusat Membeli Belah South City Plaza, dekat sini.
Ketua Polis daerah itu, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat awam yang mengesan dan mengesyaki wujudnya aktiviti parti liar di sebuah pusat spa tersebut.
Menurut beliau, pasukannya melakukan risikan dan memerhatikan tempat itu bermula jam 5.30 petang selama enam jam sebelum mengesahkan wujud pergerakan meragukan di dalam premis berkenaan.
Razali berkata, merekam terpaksa menggunakan lampu suluh masuk ke sini sampai di sebuah bilik luas yang siap dengan kerusi sofa dan meja yang dipenuhi botol arak berjenama.
“Polis mendapati keadaan bilik luas dengan dinding berwarna-warni dan berkerusi dalam keadaan sejuk, yang mana pendingin hawa masih berfungsi tanpa ditutup, sekali gus menunjukkan ada manusia di dalamnya.
“Polis menggeledah setiap dinding dan mengetuk serta memeriksa sama ada terdapat sebarang lubang rahsia atau pintu rahsia di sebalik dinding tersebut.
”Akhirnya polis menjumpai lubang kosong yang ditutup papan nipis sebelum dikopak lalu menjumpai lubang bersaiz 2×2 kaki yang ditembusi secara merangkak sebelum melalui ruang sempit yang membawa ke ruang bilik kecil yang terdapat loker,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu tengah malam tadi.
Tambah Razali, polis sekali lagi menolak rak-rak lokerĀ itu untuk mengesan jika mempunyai sebarang pintu rahsia dan usaha mereka tidak bersia-sia apabila berjaya menemui pintu di sebalik rak sebelum mendengar bunyi perbualan manusia di sebalik rak tersebut.
“Selepas ditolak kuat mendapati ada sebuah pintu yang dicantum dengan rak simpan barang lalu mengesan pintu rahsia yang membuka laluan ke arah sebuah tangga yang digunakan untuk bersembunyi dan meloloskan diri.
“Di sebalik tangga yang menuju ke bangunan tingkat atas, polis berjaya menemui 11 wanita warga asing Vietnam dan juga lapan lelaki warga tempatan di bawah tangga dengan kipas terpasang,” ujarnya lagi.
Hasil siasatan mendapati kesemua mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun itu terlibat dalam parti persendirian.
MalaysiaGazette yang turut menyertai operasi itu mendapati terdapat bil dan resit pembayaran berjumlah hampir RM8,000 untuk menempah premis rahsia itu menerusi agen.
Di dalam spa itu terdapat kolam mandi sauna yang terbiar dengan takungan air yang kotor kerana ditinggalkan pengusahanya sejak PKP pada Mac lalu.
Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan kod QR imbasan MySejahtera.
Razali berkata, modus operandi pusat itu dengan menyediakan perkhidmatan parti persendirian dengan mensasarkan pelanggan secara berkumpulan dan ditemani GRO wanita asing.
Semasa beroperasi, fius elektrik utama ditutup bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu dari luar.
Semua wanita asing itu di siasat di bawah Seksyen 55B dan 39B Akta Imigresen 1959/63 manakala lapan lelaki warga tempatan dikompaun RM1,000 mengikut Akta 342 kerana mengingkar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. – MalaysiaGazette