Home Pendapat Belanjawan 2021: Pendidikan digital semakin mencabar

Belanjawan 2021: Pendidikan digital semakin mencabar

Gelagat seorang ibu bersama anaknya memilih beberapa jenis kasut sekolah ketika membeli-belah barangan persiapan menjelang sesi persekolahan 2019 yang bakal tiba tidak lama lagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di salah satu pusat membeli-belah yang terletak di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

SEKTOR pendidikan negara merupakan antara sektor yang terpenting di negara kita. Kita percaya bahawa anak-anak pada hari ini merupakan aset terpenting kepada negara kerana generasi ini akan membentuk dan menjadi modal insan yang akan terus menyumbang dan berbakti kepada negara suatu hari nanti. Dengan itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50.4 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
serta RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Belanjawan 2021 telah membuktikan bahawa kerajaan telah melakukan pelaburan kepada sektor pendidikan negara
dengan jumlah yang lebih besar berbanding Belanjawan 2020, iaitu sebanyak 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2021. Jika dihitung, jumlah
keseluruhan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada sektor pendidikan negara dalam Belanjawan 2021 ialah sebanyak RM64.8 bilion. Jumlah tersebut meningkat sebanyak
RM700 juta iaitu daripada RM64.1 bilion pada tahun 2020 meningkat kepada RM64.8 bilion pada 2021.

Secara keseluruhannya, peruntukan kementerian yang diberikan kepada sektor pendidikan dalam Belanjawan 2021 lebih memfokuskan kepada penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah kerajaan serta sekolah-sekolah bantuan kerajaan iaitu sebanyak RM800 juta. Malah kerajaan juga telah meperuntukkan sebanyak RM725 juta bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah-sekolah daif. Jumlah yang
diperuntukkan untuk penyelenggaraan infrastruktur sekolah-sekolah pada tahun ini dilihat meningkat berbanding belanjawan pada tahun 2020. Kebajikan murid berkeperluan khas juga tidak ketinggalan, RM45 juta telah disediakan oleh kerajaan bagi memperkasakan pendidikan khas.

Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM420 juta bagi membantu murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat khasiat harian secukupnya. Oleh itu, kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan
penyediaan bekalan susu setiap hari persekolahan. Di samping itu, bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi dan menjalankan pendidikan digital dengan lebih berkesan, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network (MYREN) kepada 500Mbps hingga 10Gbps. Sementara itu, baru-baru ini, Menteri  Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul juga telah mengumumkan bahawa kementerian telah bersetuju untuk menambah baik program e-Belia dengan menaikkan jumlah kredit RM50 ke RM100 secara one-off ke dalam akaun e-
wallet mahasiswa. Tidak dinafikan lagi, perkara ini merupakan berita yang amat mengembirakan bagi seluruh pelajar terutamanya bagi golongan mahasiswa.

Namun,  kegembiraan itu semestinya tidak dapat dikongsi bersama kelompok-kelompok mahasiswa yang latar belakangnya daripada keluarga yang serba kekurangan. Jika dilihat
secara realistik, wang sejumlah RM100 ini, mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi serta menanggung perbelanjaan mereka. Umumnya, seluruh rakyat Malaysia sedia maklum bahawa keadaan di negara kita kini yang sedang bertempur dengan pelbagai krisis kesihatan, politik serta ekonomi menyebabkan pelbagai sektor di negara kita tergendala, malahan sektor pendidikan juga tidak terkecuali. Murid-murid di sekolah rendah dan menengah mahupun mahasiswa serta mahasiswi di
pengajian tinggi turut menerima kesan yang sama daripada krisis pandemik Covid-19 yang menimpa negara kita. Malangnya, situasi ini juga telah memaksa para pelajar serta tenaga
pengajar untuk mengaplikasikan norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.

Secara tidak langsung, kaedah pengajaran dan proses pembelajaran di sekolah-sekolah serta institusi pengajian tinggi telah berubah secara beransur-ansur. Teknik Open and
Distance Learning (ODL) atau pembelajaran jarak jauh dan Home-based Learning (HBL) telah menjadi salah satu alternatif yang diambil bagi meneruskan proses pembelajaran dengan
lebih selamat dan sihat. Justeru, sistem pendidikan kita telah berubah daripada sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berbentuk tradisional iaitu secara bersemuka dan
koperatif kepada teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih moden iaitu secara maya dan individu atau berseorangan. Hal demikian menyebabkan capaian Internet yang
baik, alat telekomunikasi yang cukup serta bahan rujukan dan kandungan pembelajaran yang lebih berkualiti diperlukan untuk memastikan sistem pembelajaran berjalan dengan lancar
serta mengelakkan daripada para pelajar ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Persoalannya, adakah kerajaan kita menyokong sepenuhnya dan memberi respons yang sewajarnya terhadap krisis yang dialami oleh sektor pendidikan di negara kita melalui Belanjawan 2021? Adakah peruntukan dan pelaburan yang dikhususkan untuk
penyelenggaraan sekolah-sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi berbaloi digunakan untuk membantu dalam meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)
kini? Terdapat pelbagai persoalan yang boleh dibahaskan, malah peruntukan yang diberikan juga perlu dikaji semula. Walau bagaimanapun, segala persoalan serta permasalahan ini belum
diberi solusi yang jelas dan sewajarnya di dalam Belanjawan 2021.

Mahasiwa terutamanya, dilihat seperti tersepit di dalam krisis pandemik Covid-19 ini kerana mereka tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya iaitu secara one-Off untuk
membiayai keperluan-keperluan tertentu ketika menjalankan proses pembelajaran secara digital dan atas talian. Kerajaan sewajarnya memberi peruntukan yang khusus kepada
mahasiswa bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka, sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka untuk tekun dalam menuntut ilmu. Dengan dana yang dibekalkan, para pelajar mampu menggunakan sebahagian daripada wang tersebut untuk
memperkukuhkan gajet mereka misalnya menaik taraf storan dalaman komputer riba yang lebih besar. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti pelajar serta
mereka dapat menikmati peratus kelajuan yang lebih pantas tanpa menghadapi sebarang masalah apabila mereka membuka beberapa aplikasi dalam satu masa yang sama ketika kelas
atas talian. Penggunaan komputer riba yang berada dalam kondisi yang baik sememangnya menjadi keperluan bagi setiap pelajar untuk menjalani pendidikan digital.

Di samping itu, mahasiswa juga menghadapi kesukaran dalam mendapatkan buku atau sumber rujukan yang lebih berkualiti. Malahan, mereka juga terpaksa membeli buku-buku serta bahan rujukan tersebut di aplikasi membeli belah atas talian dengan harga yang lebih mahal. Yuran pengajian mahasiswa juga perlu dikurangkan kerana mereka tidak menggunakan sebarang fasiliti di universiti apabila kelas dan kuliah mula dijalankan secara
atas talian sepenuhnya. Sejujurnya, para pelajar sememangnya perlu diberi perhatian kerana mereka amat memerlukan bantuan kewangan dek terbeban dengan masalah ekonomi yang
tidak menentu sekarang. Mungkin untuk penambahbaikan yang kerajaan boleh lakukan untuk meringankan beban dan memudahkan urusan para pelajar adalah dengan menyalurkan
bantuan pendidikan secara terus kepada mereka. Bantuan ini dapat disumbangkan melalui pemberian baucar buku, e-book secara percuma atau bantuan secara one-off bernilai RM300
serta pengurangan yuran yang maksimum. Penambahan bantuan- bantuan bukan sahaja dapat mengurangkan beban mahasiswa malah bantuan ini juga dapat meringankan beban sesebuah
keluarga teutama sekali keluarga yang tergolong dalam kelompok B40.

Bantuan pendidikan ini bukan sahaja dapat membantu para pelajar, malah ia juga dapat mengembangkan ekonomi negara terutamanya di dalam sektor penerbitan dan penulisan buku. Ini sekali gus, industri elektronik dan digital tempatan juga dapat meraih manfaat yang sama daripada bantuan kewangan pendidikan ini. Jelaslah bahawa, masa depan generasi milenial hari ini sememangnya bergantung kepada corak pentadbiran negara pada hari ini. Kerajaan seharusnya mengambil langkah yang lebih kreatif dan efektif bagi membendung masalah ini. Belanjawan 2021 sepatutnya mempedulikan semua pihak, tidak kira sama ada murid-murid sekolah rendah, sekolah menengah mahupun golongan mahasiswa. Hal ini bagi mengelakkan tiada sesiapa yang terpinggir daripada memperoleh manfaat kerajaan. Kualiti generasi hari ini merupakan tunjang kepada pembangunan dan kemajuan negara kita suatu hari nanti. Oleh itu, kerajaan
semestinya bersikap adil, sentiasa mendengar keluhan rakyat-rakyat dan menyentuh semua rakyat dalam Belanjawan 2021.

Amira Aufa Mohd Ramzi, USIM

+ posts