Home Utama Caruman pekerja dikurangkan 9% tahun depan – KWSP

Caruman pekerja dikurangkan 9% tahun depan – KWSP

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tahun 2021.

Kadar caruman berkanun syer pekerja baharu ini akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama.

Kadar baharu ini akan berkuatkuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga upah pekerja bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember 2020.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam
talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember 2020.

Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan. – MalaysiaGazette