KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yakin Perikatan Nasional (PN) mampu meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sasaran itu tidak mustahil memandangkan PN ketika ini telah menunjukkan prestasi memberangsangkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Alhamdulillah, Belanjawan 2021 juga sudah lulus di peringkat dasar.
“Jika kita kekalkan momentum hari ini, percayalah tuan-tuan, kita akan berjaya di pilihan raya akan datang, malah kembali dengan majoriti dua pertiga yang tidak pernah dicapai sejak hampir dua dekad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Armada Kali Ketiga secara virtual, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal turut mencadangkan agar 20 peratus daripada calon pilihan raya, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan kakitangan khidmat sokongan anggota pentadbiran dikhususkan untuk golongan muda.
Ujarnya, saranan itu adalah selaras dengan pelaksanaan had minimum umur mengundi 18 tahun yang mula berkuat kuasa Julai tahun depan.
“Anak muda akan menjadi kumpulan pengundi terbesar yang wajib disantuni,” tambahnya.
Pada masa yang sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu mahu Armada berusaha meyakinkan golongan mahasiswa dan profesional muda untuk aktif berpolitik bersama sayap itu.
Katanya, Armada harus menyusun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung Mahasiswa Bersatu Negara.
Bagaimanapun katanya, langkah itu perlu dibuat di bawah panji dan jenama yang tunggal dan tidak berbelah bahagi kerana logo bunga raya adalah logo bersama dalam Bersatu. – MalaysiaGazette
Kepada MN, eloklah berhati2 dengan golongan yang suka mengambil KREDIT?
Kepada Bersekutu kalau nak suroh Bank Negara cetak duit tu eloklah cepat2 sket supaya dapat diagihkan kepada semua golongan B40 barang SELORI seorang, masalah selesai, tak payah susah2, gaduh2 soal belanjawan!