KUALA LUMPUR – Ekoran keperluan sistem rakaman digital seperti dashcam sebagai bahan bukti, penggunaannya mungkin akan digunakan oleh kenderaan milik agensi kerajaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, langkah itu bagi mencari jalan untuk menghalalkan segala bentuk rakaman bagi dijadikan bahan bukti di mahkamah.
“Ianya (penggunaan dashcam) memang membawa manfaat dan kita sedar penggunaan ini juga boleh membantu agensi penguatkuasaan dalam menjalankan siasatan.
“Kalau kerjasama diantara agensi KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan sebagainya, atau agensi penguatkuasaan yang lain kita boleh duduk bersama untuk memikirkan bagaimana kaedah untuk menghalalkan ianya menjadi bukti untuk siasatan terutamanya dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (PKR).
Syed Ibrahim dalam soalan tambahan ingin tahu sama ada kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan dashcam kepada kenderaan pihak penguasa seperti PDRM, polis trafik dan ambulan.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, pihaknya belum bercadang untuk mewajibkan pemasangan kamera dashboard di dalam kenderaan.
Kata Hasbi, beberapa perkara penting seperti seperti ketiadaan piawaian di peringkat antarabangsa dan tempatan yang khusus bagi menetapkan spesifikasi pemasangan kamera dashboard di dalam kenderaan perlu diperhalusi oleh kementerian.
“Secara dasarnya pihak kementerian tiada halangan kepada mana-mana pemilik kenderaan persendirian mahupun perdagangan untuk memasang perakam video digital atau dashcam,” katanya lagi.
Jelas Hasbi lagi, sebarang pemasangan kepatas kenderaan persendirian dan perdagangan hendaklah tidak menyebabkan sebarang pengubahsuaiaan atau menjejaskan fungsi sistem keselamatan sedia dan tidak mengganggu tumpuan dan fokus pemandu semasa di atas jalan raya. – MalaysiaGazette