Home Nasional PENJANA KPT-CAP bermula bulan depan

PENJANA KPT-CAP bermula bulan depan

Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Sharil Abdullah bercakap pada temubual khas di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) bakal memberi manfaat kepada 20,000 pelajar dan graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Mohd. Sharil Abdullah berkata, program yang akan bermula pada bulan depan boleh dipohon pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah bergraduat pada tahun ini dan graduan yang belum pernah bekerja pada tahun 2019.

Jelas beliau, permohonan adalah melalui portal Great KPT dan peserta hanya layak dipertimbangkan satu program sahaja.

“Peserta perlu membuat pembiayaan sendiri sekiranya berminat untuk mengikuti lebih daripada satu program yang diluluskan tersebut.

“Graduan dari universiti awam boleh memohon program yang ditawarkan oleh mana-mana universiti hos selagi mana program tersebut memenuhi kriteria program yang telah ditetapkan.

“Penglibatan pelajar UA luar adalah sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah peserta dan lokasi program diadakan di IPT masing-masing atau berdekatan dengan kediaman tetap peserta,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Porgram PENJANA KPT-CAP dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 September lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi yang turut dihadiri, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mohd. Sharil menambah, modul kursus program itu dibahagikan kepada tiga iaitu melibat Kemahiran Insaniah, Persijilan Kompetensi dan Persediaan Pekerjaan.

Jelas beliau, Modul Kemahiran Insaniah dilaksanakan bagi tempoh satu minggu sebagai persediaan peserta kepada program kompetensi.

Menurutnya, ia merupakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas berkaitan kepimpinan dan kerja berkumpulan, penyelesaian masalah, membuat keputusan, kemahiran penulisan dan pembentangan, komunikasi dan pemasaran melalui media sosial.

“Modul Persijilan Kompetensi pula dilaksanakan bagi tempoh empat minggu sebelum penempatan dalam pekerjaan yang melibatkan teras utama iaitu  Job Matching & Placement, Keusahawanan dan Gig Economy.

“Manakala Modul Persediaan Pekerjaan dilaksanakan bagi tempoh satu minggu sebelum penempatan dalam pekerjaan. Ia dilakukan secara online sebagai persediaan peserta sebelum memasuki bidang pekerjaan,” katanya.

Mohd. Sharil memberitahu, PENJANA KPT-CAP merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan untuk memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi di mana pelan ini akan digerakkan melalui kementerian dan agensi-agensi yang terlibat.

Katanya, kerajaan telah memberikan peruntukkan sebanyak RM 100 bagi program yang memfokuskan kepada pengurangan kadar graduan yang menganggur.

“KPT melalui PENJANA-KPT CAP akan melaksanakan program upskilling dan reskilling sebagai salah satu usaha untuk membantu meningkatkan kemahiran dan skil bagi melahirkan graduan yang berketrampilan untuk memenuhi pasaran kerja yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaGazette